Tidak iktiraf perkahwinan sama jantina langgar Perlembagaan

Tidak iktiraf perkahwinan sama jantina langgar Perlembagaan

TOKYO: Mahkamah Jepun memutuskan bahawa kegagalan mengiktiraf perkahwinan sesama jantina ialah bercanggah dengan Perlembagaan negara itu.

Lebih 12 pasangan sesama jantina memfailkan saman pada 2019 bagi mendesak kerajaan Jepun untuk mengiktiraf perkahwinan sedemikian sebagai sah.

Menerusi keputusan pertama berhubung saman berkenaan, sebuah mahkamah di Sapporo mengetepikan permohonan menuntut kos ganti rugi sejuta yen (RM37,743) untuk setiap orang kerana dinafikan hak seperti pasangan berlainan jantina.

Bagaimanapun, keputusan dilihat AFP memperuntukkan bahawa kegagalan mengiktiraf perkahwinan sesama jantina ialah bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan.

Pendirian itu sekali gus memberi sinar harapan ke arah kesaksamaan perkahwinan seperti diperjuangkan pergerakan berkaitan.

Seorang plaintif lelaki, ketika ditemui pemberita di perkarangan mahkamah, ternyata gembira berhubung perkembangan terkini itu.

“Saya tidak dapat menahan sebak, mahkamah secara ikhlas memberikan perhatian yang sangat mendalam terhadap masalah kami.

“Saya rasakan bahawa mahkamah sudah mengeluarkan keputusan yang sangat baik,” katanya.

Jepun ialah satu-satunya negara dalam kalangan G7 yang tidak mengiktiraf perkahwinan sesama jantina.

Perlembagaan Jepun setakat ini hanya menggariskan bahawa sebarang perkahwinan perlu meraih kesepakatan daripada kedua-dua jantina.

Sehubungan itu, mahkamah mentafsirkan bahawa perkahwinan sesama jantina tidak ditakrifkan sebagai salah atau tidak diiktiraf mengikut Perlembagaan atau undang-undang sivil.

Bagaimanapun, peguam mewakili plaintif dan beberapa pakar perundangan lain menyanggah tafsiran sedemikian kerana berpendapat Perlembagaan tidak menggariskan sebarang sekatan mengenai perkahwinan sesama jantina. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top