Tidak kisah bersaing dengan pelakon seusia

Tidak kisah bersaing dengan pelakon seusia

norhayati_nordin@hmetro.com.my

ENAM tahun aktif sebagai pelakon, bakat baharu dikenali Ali Reza Kavoosi, 28, gembira dan bersyukur apabila dia sering mendapat peluang berlakon di samping artis senior.

Baginya ia bukan sahaja satu penghargaan buat diri, namun peluang keemasan yang diyakini dapat membantu memahat nama dalam industri untuk lebih dikenali.

Bersua Ali baru-baru ini yang membintangi drama Perempuan Tidak Ternikah bagi slot Akasia TV3 arahan Eoon Shuhaini turut mengakui dia tiada masalah bergandingan dengan pelakon wanita senior dan berkahwin.

“Saya memang belum berkahwin lagi. Tapi, tiada masalah pun sebab sebelum ini dalam beberapa drama lakonan saya sudah pernah bergandingan dengan pelakon wanita lebih berusia.

“Boleh dikatakan jarak usia antara kami lima tahun dan lebih, tapi saya percaya untuk nampakkan tiada perbezaan ketara saya kena pastikan ‘look’ pada muka lebih matang dan seiring karakter dalam setiap babak.

“Termasuk untuk drama Perempuan Tidak Ternikah ini, saya memang tengok Siti Elizad sebagai senior sebab dia sudah banyak pengalaman. Jadi di situ, saya kena ambil cabaran berlatih dan kami juga sering berbincang.

“Bagi saya, apa yang penting dapat mewujudkan keserasian dalam lakonan untuk orang (penonton) boleh rasakan dan saya memang faham ia satu cabaran yang perlu disahut dengan sebaiknya,” kata Ali.

Katanya lagi, ditambah dalam projek drama berkenaan dia harus bekerja dengan semua pelakon yang sudah berkahwin dan masing-masing mempunyai pengalaman serta kredibiliti bakat tersendiri.

Mengulas kemunculan ramai pelakon lelaki baharu sepertinya, Ali berkata, dia tidak melihat perkara itu sebagai sesuatu yang mampu menutup periuk nasinya dalam industri hiburan, sebaliknya yakin pada diri sendiri.

“Saya rasa dalam soal ini (persaingan antara pelakon baharu) ada banyak kombinasi yang boleh dinilai dari segi komunikasi, pergaulan, cara membuat video untuk media sosial, termasuk sama ada individu itu seorang merendah diri atau tidak.

“Tetapi, selama saya berada dalam industri ini sebenarnya banyak juga cabaran yang saya lalui dan apa yang saya perasan sudah enam tahun berlakon, saya melihat sendiri yang diri saya ada banyak peningkatan beraksi depan kamera.

“Ini mungkin kerana saya juga banyak mendapat tawaran shooting, yang menggandingkan saya dengan pelakon senior. Bagi saya, segala perancangan dalam karier yang ditetapkan oleh Allah ini sudah begitu baik.

“Alhamdulillah, ini rezeki (berlakon) saya apabila banyak dengan mereka (pelakon senior) dan dari situlah saya dapat belajar pelbagai perkara. Saya fikir selama jadi pelakon dalam dua ke tiga tahun ini, memang saya banyak shooting dengan orang-orang lama,” katanya.

Ditanya juga mengenai peluang pertamanya membintangi drama untuk slot popular seperti Akasia, Ali berkata, dia berdebar tetapi akan berusaha melakonkan wataknya sebagai Adli dengan baik.

“Berlakon slot Akasia ini bagi saya cerita-cerita drama ditayangkan itu agak berat. Tetapi, tidak untuk cerita Perempuan Tidak Ternikah ini sebab ada komedinya. Jadi, saya rasa ia akan lebih ‘best’.

“Saya pun tak terbabit banyak babak untuk watak Adli dan saya tak nak cerita terlalu banyak. Apapun, projek drama Akasia ini adalah satu penghargaan untuk saya dan rezeki yang tak mungkin dilepaskan.

“Sebaik sahaja bila dapat projek lakonan dengan TV3 macam ini, saya terima dan tak cakap banyak. Sebab saya rasa ini antara strategi untuk saya meningkatkan nama saya lagi terutama untuk perancangan karier tahun depan,” jelasnya.

Berbicara kerjasamanya dengan Siti Elizad, pemuda berdarah campuran Melayu-Iran ini memaklumkan walaupun kali pertama mereka digandingkan tetapi dia percaya boleh berlakon bersama dengan mantap.

“Saya pun faham watak saya agak banyak dengan Elizad. Jadi untuk itu, kita banyak bincang bersama bagi mewujudkan keserasian untuk sampaikan watak masing-masing kerana baca skrip tidak sama dengan apa pengarah inginkan.

“Biasanya, untuk pihak saya akan baca skrip lebih daripada sekali dan pada masa itu juga turut ambil apa sahaja ‘point’ yang penting untuk saya huraikan sendiri apa sebenarnya kehendak watak saya bawakan itu,” katanya.

Menurut Ali, apa yang pasti dia memang suka ambil masa bila membaca skrip sambil membayangkan watak berkenaan dalam babak supaya bila di set penggambaran nanti sudah betul-betul bersedia untuk bawakan sesuatu dialog itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top