am@hmetro.com.my
Melaka: Memasuki hari ketujuh Ramadan hari ini, ada umat Islam di negeri ini dikesan ‘ponteng’ rukun Islam ketiga itu dengan memberi alasan sakit dan tidak larat berpuasa.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman berkata, kegiatan itu terbongkar menerusi Operasi Kesalahan Tidak Menghormati Ramadan di sebuah warung bukan Islam di Bukit Rambai, di sini, jam 11 pagi tadi.
Menurutnya, operasi dilakukan sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi mengesan kedai makan yang menjual makanan kepada orang Islam di bulan Ramadan.
“Hasilnya kita mengesan lelaki berusia 52 dan 53 tahun di dalam ruang tersorok warung bukan Islam di Bukit Rambai di sini yang ponteng puasa sedang leka menikmati teh tarik dan roti bakar.
“Seorang daripada orang yang disyaki (OYDS) ini bekerja sebagai tukang pendawaian elektrik memberi alasan tidak sihat untuk minum di situ bersama rakannya, tukang rumah yang mengaku tak larat berpuasa.
“Malah ketika serbuan, penguat kuasa terpaksa masuk melalui tingkap kerana pintu belakang premis kayu itu dikunci dipercayai bagi mengelak dihidu pihak berkuasa,” katanya dalam operasi itu.Operasi turut disertai Pengarah JAIM Datuk Md Azhan Samat dan Ketua Pegawai Penguat kuasanya, Akmal Nadzim Abdullah.
Rahmad berkata, tidak sihat bukan alasan umat Islam untuk menikmati makanan di tempat awam kerana ia menjadi kesalahan di bawah Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka (EKSNM) 1991: Kesalahan menjual makanan dan makan dalam bulan Ramadan.
Katanya, beliau menitik berat maslahat dan juga kebimbangan umat Islam di negeri ini berkaitan ‘ponteng’ puasa tanpa sebab dan individu terbabit wajib mengganti atau membayar fidyah.
“JAIM akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa sepanjang Ramadan ini dan mengingatkan orang ramai kesalahan ini tidak boleh dikompaun, sebaliknya mereka dikehendaki hadir ke mahkamah untuk tindakan seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Rahmad berkata, 11 operasi dilakukan JAIM setakat hari ini membabitkan 127 premis makanan dan menahan lapan OYDS lelaki yang melakukan kesalahan Seksyen 49 EKSNM 1991.
Katanya, individu terbabit boleh didenda maksimum RM1,000 atau dipenjara sehingga enam bulan bagi kesalahan kali pertama jika disabitkan.
“Tahun lalu, kita menghasilkan 38 kes dengan semua OYDS memberi alasan tidak sihat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



