am@hmetro.com.my
Tradisi pulang ke kampung halaman sinonim dengan pelbagai pertanyaan ‘panas’ daripada sanak saudara, dan pelakon, Jazmy Juma mengakui dirinya tidak terkecuali daripada menjadi ‘sasaran’ soalan mengenai jodoh.
Jazmy atau nama sebenarnya Jazmy Khan Juma Khan, 28, mengakui sering ditanya mengenai jodoh, namun memilih untuk tenang menghadapi soalan sambil memohon doa yang terbaik.
“Memang ‘confirm’ ada soalan begitu. Saya hanya minta mereka untuk doakan yang baik-baik sahaja untuk saya. Jika ada rezeki (untuk saya berkahwin), adalah.
“Buat masa sekarang memang belum ada lagi ‘target’ untuk saya berkahwin bila, tapi sekiranya nak kahwin, sudah tentu saya akan uar-uarkan bagi mengelakkan timbulnya sebarang fitnah,”
katanya.
Pelakon drama Bidadari Salju ini turut menafikan dakwaan kononnya sengaja menangguhkan keinginan untuk mendirikan rumah tangga semata-mata kerana kerjaya yang sedang berada di puncak.
“Saya tidak rasa begitu. Sekiranya Allah sudah tetapkan esok saya akan berkahwin, maka esoklah jadinya.
“Kita tahu bahawa soal ajal dan jodoh itu semuanya berada di tangan Tuhan. Jadi, saya tidak boleh nak tentukan jika tiba-tiba saya ditakdirkan berkahwin dalam masa terdekat,” katanya.
Bagaimanapun, pelakon drama Kerana Cinta Itu Dusta ini tidak sesekali menganggap pertanyaan mengenai jodoh sebagai satu tekanan buat dirinya.
Malah, dia mengambil pendekatan positif dengan menganggap setiap persoalan itu sebagai satu ruang untuk orang ramai mendoakan yang terbaik.
“Saya tidak rasa tertekan, saya okay sahaja. Saya boleh minta mereka mendoakan saya, jadi secara tidak langsung saya mendapat satu doa daripada mereka,” kongsinya.
Melihat perjalanan seninya yang semakin rancak, pelantun lagu Gelora ini menyifatkan dirinya amat bertuah apabila dikelilingi individu serta pasukan produksi yang baik sepanjang pembabitan dalam industri sekali gus menyifatkan pencapaian awal yang diraihnya sebagai satu permulaan cukup indah.
“Alhamdulillah, perjalanan karier saya setakat ini sangat seronok, bagus dan positif. Saya dapat berjumpa dengan orang yang baik-baik. Sebagai pelakon baharu, ini adalah permulaan yang sangat bagus buat saya.
“Saya cuma harap apa yang bermula dengan baik ini akan berakhir dengan sesuatu yang baik juga,” katanya.
Bercerita mengenai sambutan 1 Syawal, Jazmy merancang untuk pulang ke kampung halaman di Terengganu dan Perak bagi meraikan hari kemenangan itu bersama keluarga tercinta.
Bagi Jazmy, momen paling dinantikan setiap kali tibanya Aidilfitri bukanlah sekadar juadah enak, sebaliknya berpeluang melihat perkembangan karakter anak-anak buahnya yang semakin meningkat usia.
“Setiap kali hari raya, saya akan perhatikan anak buah saya. Contohnya, kalau tahun lepas umurnya 10 tahun, tahun ini dah masuk 11 tahun, cara mereka bercakap pun dah berbeza.
“Jadi, saya sangat menantikan untuk melihat cara mereka berfikir, bergaul dan bagaimana cara mereka bergurau antara satu sama lain yang berubah mengikut peningkatan usia mereka,” katanya.
Hadir dengan sisi matang dalam naskhah terbaharu berjudul Hilang Dalam Rindu 2, Jazmy menyahut cabaran memegang watak sebagai seorang bapa.
Meskipun statusnya belum bergelar bapa dalam kehidupan realiti, Jazmy mengakui watak yang dibawakan itu tidak sukar buatnya kerana dia sudah terbiasa menguruskan 27 anak buahnya.
“Jadi, apabila perlu berlakon menjadi seorang bapa, saya rasa tidak kisah dan langsung tidak kekok untuk memegang bayi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




