Tidak memadai sesi pendengaran awam

Tidak memadai sesi pendengaran awam

SAUDARA PENGARANG,

PENGAMBILAN tanah termasuk rumah tinggal di atasnya adalah satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan.

Ia adalah peristiwa yang mengubah kehidupan mana-mana keluarga. Justeru, Pertubuhan Forum Kesedaran Rakyat Negeri Selangor (Fikir) berpandangan rasa tidak puas hati penduduk Taman Kencana, Pandan, Kuala Lumpur terhadap pengambilan rumah-rumah mereka untuk pembinaan stesen Transit Aliran Massa (MRT) 3 adalah wajar.

Penduduk yang menubuhkan satu jawatankuasa bertindak telah mendakwa pemakluman cadangan laluan dan stesen MRT tersebut adalah hanya melalui pameran Draf Rancangan Tempatan 2035 oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada bulan Mei, Jun dan Julai lepas.

Penduduk tersebut juga mendakwa mereka terlepas pandang akan pameran itu oleh yang demikian tidak menghantar sebarang bantahan atau cadangan balas terhadapnya. Kata mereka, publisiti untuk pameran itu adalah tidak meluas.

Fikir melihat walaupun pameran tersebut telah adakan di pejabat MPAJ dan beberapa kompleks beli-belah malah telah dilanjutkan selama 14 hari dari tempoh asal namun kita tidak boleh mengharapkan rakyat biasa untuk memahami implikasi rancangan tempatan itu kepada kehidupan mereka.

Projek MRT tersebut adalah di antara puluhan mungkin juga ratusan cadangan dan pengubahan pada Draf Rancangan Tempatan 2035 itu. Maka, tanpa sebarang bantuan dan bimbingan, rakyat biasa tanpa sebarang latar belakang perancangan bandar, pembangunan hartanah atau perundangan tidak akan menyedari akan kesan-kesannya.

Sepatutnya bagi Rancangan Tempatan 2035 yang melibatkan projek MRT3, satu penerangan yang khusus, terperinci dan meluas kepada penduduk yang terlibat telah dianjurkan oleh mereka yang digaji untuk melindungi kepentingan penduduk.

Tetapi Fikir tidak melihat penerangan seperti itu dianjurkan oleh wakil-wakil rakyat atau ahli-ahli majlis. Malah, memandangkan penduduk bakal melakukan pengorbanan yang besar maka tidak keterlaluan untuk pihak yang bertanggungjawab termasuk agensi-agensi Kementerian Pengangkutan perlu ‘mengetuk pintu dari rumah ke rumah’ untuk memberi penerangan dan mendapat maklum balas penduduk. Kehidupan rakyat jangan dipandang remeh.

Fikir mengalu-alukan sebarang dialog yang sedang diusahakan hasil dari desakan penduduk dan berharap satu penyelesaian menang-menang akan dapat dicapai. Kedudukan stesen dan laluan perlu sesuai untuk memastikan penduduk tidak teraniaya. Jika para perunding sedia ada tidak berkemampuan mencari penyelesaian alternatif maka Fikir berpandangan adalah lebih baik para perunding yang lebih berkemampuan dilantik.

Projek MRT ini bukan kali pertama di kawasan Parlimen Pandan di mana laluan sebuah projek pengangkutan mendapat bantahan penduduk. Ketika Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor (2008-2018 ), projek Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) telah menerima bantahan penduduk kerana akan mengorbankan 80 rumah kos rendah di Taman Bakti.

Bagaimanapun, hasil dari kerjasama penduduk, ahli majlis, wakil rakyat dan kerajaan negeri, satu cadangan alternatif yang menyelamatkan rumah-rumah penduduk telah dilaksanakan.

Fikir berharap mereka yang hari ini bertanggungjawab melindungi kepentingan rakyat memiliki kesungguhan politik untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.-UTUSAN

DATUK ISKANDAR ABDUL SAMAD
Pengerusi Fikir