mohamadridzuan@hmetro.com.my
MUZIK rock tetap kekal diminati walaupun terpaksa bersaing hebat dengan pelbagai genre muzik moden yang lahir pada era masa kini.
Penganjuran konsert rock pula sering kali tidak mengecewakan dari segi sambutan penonton yang puas dapat menyaksikan persembahan ‘live’ secara langsung di depan mata.
Untuk itu tiga kumpulan rock iaitu Punisher, FOR dan Sniperz digandingkan dalam konsert yang dinamakan Konsert Gegaran Warisan.
Konsert yang menampilkan nama popular, Amir SYJ sebagai kemunculan istimewa ini bakal berlangsung di Warisan Hall Studio, Sijangkang, Telok Panglima Garang, jam 8 malam pada 18 Julai ini.
Konsert anjuran Mentari Merah Entertainment dengan kerjasama Warisan Hall itu hanya terbuka kepada 300 penonton kerana kapasiti tempat yang terhad.
Pengarah Urusan Mentari Merah Entertainment, Mohammad Noor Mustapha berkata, ketiga-tiga kumpulan ini serta Amir mempunyai pengaruh tersendiri dalam dunia rock dan metal tempatan.
Menurutnya ia bukan sekadar konsert hiburan, sebaliknya usaha menghidupkan kembali legasi muzik keras tempatan serta membuka ruang kepada generasi baharu mengenali sejarah scene terbabit.
“Kami mahu cipta satu malam yang bawa penonton kembali ke zaman kegemilangan gig underground. Pada masa sama, kami mahu generasi muda lihat sendiri siapa nama-nama yang pernah membuka jalan kepada muzik keras di Malaysia.
“Sebab itu kami pilih nama Gegaran Warisan kerana ia sebagai tanda terima kasih kami kepada pemilik Warisan Studio, Mohd Khair Ghazali atau Wak Khair yang sering membantu kami dalam segala aspek,” katanya.
Tambahnya, pemilihan lokasi dengan kapasiti kecil juga dibuat bagi mewujudkan suasana lebih rapat antara artis dan peminat.
Sementara itu, barisan artis terbabit gembira dengan pemilihan mereka dan peluang yang diberikan.
Vokalis Sniperz, Azmie berkata, dia dan anggotanya iaitu Poi (gitar), Din (bass) berjanji akan memberikan persembahan terbaik dalam konsert ini.
“Keistimewaan konsert kali ini kerana ia menampilkan tiga band yang mempunyai pengikut dan kekuatan muzik tersendiri. Sniperz masih mengekalkan genre muzik Rock n Roll.
“Sniperz seperti biasa dengan imej celoreng tentera yang sinonim
dijangka bawa antara enam hingga tujuh lagu. Kami giat buat latihan sekarang untuk kepuasan peminat,” katanya.
Tiket dijual pada harga RM90 sahaja. Lebih menarik, setiap pembelian tiket melayakkan penonton menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utama RM1,000, hadiah kedua RM700 dan hadiah ketiga RM500, selain beberapa hadiah saguhati.
© New Straits Times Press (M) Bhd



