Tidak muncul ketika akad nikah, lelaki dakwa hilang ingatan

Tidak muncul ketika akad nikah, lelaki dakwa hilang ingatan
Pasangan ini gagal disatukan selepas bakal pengantin lelaki gagal hadir pada majlis akad nikah. - Agensi

Pasangan ini gagal disatukan selepas bakal pengantin lelaki gagal hadir pada majlis akad nikah. – Agensi

GORONTALO – Misteri kehilangan seorang anggota Pasukan Gerakan Khas Polis Indonesia (Brimob) pada hari perkahwinannya akhirnya terjawab selepas beliau mendakwa mengalami masalah hilang ingatan sehingga gagal hadir ke majlis tersebut.

Bripda Tri Farhan Mahieu sepatutnya bernikah dengan Sukmawati Rahman, 24, di Kampung Pangadaa, Daerah Dungaliyo, pada 9 Ogos lalu. Namun, beliau gagal hadir sehingga mencetuskan kekecohan dan menjadi bualan masyarakat setempat.

Dalam sesi kaunseling keluarga yang dikendalikan polis, Farhan mendakwa tidak hadir ke majlis penting itu kerana hilang ingatan dan tersesat jalan, malah tidak dapat menemui rumah bakal isterinya atau rumah keluarganya sendiri.

Keluarga Farhan memohon maaf dan mengakui panik ketika beliau hilang, tetapi keluarga Sukmawati menegaskan proses undang-undang tetap diteruskan di Ibu Pejabat Polis Gorontalo.

Farhan menyatakan kesediaan menerima sebarang akibat, sama ada tindakan daripada pihak berkuasa atau keluarga perempuan.

Antara fakta baharu yang didedahkan termasuk pengakuan Farhan bahawa beliau kerap mengalami masalah hilang ingatan sejak sebelum hari majlis, dan beberapa kali ditemui berada di lokasi jauh tanpa menyedari bagaimana beliau sampai ke sana.

Insiden itu turut memberi kesan besar kepada keluarga Sukmawati.

Ibunya, Fatmawati Soman, pengsan hingga mulutnya mengalami kekejangan dan terpaksa dirawat di hospital, manakala Sukmawati sendiri dilaporkan mengalami trauma dan murung.

Ahli keluarga mendakwa keadaan Farhan mungkin berpunca daripada faktor bukan perubatan atau unsur mistik, namun perkara itu masih belum dapat dipastikan.

Sehingga kini, keluarga Sukmawati berpegang teguh bahawa kes berkenaan perlu diteruskan secara undang-undang, manakala Sukmawati kekal dengan keputusannya untuk membatalkan terus perkahwinan.-Agensi

Scroll to Top