nfazlina@nstp.com.my
Tumpat: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan tidak menolak kemungkinan pengilang dan pemborong turut bersubahat sehingga menyumbang kepada kegiatan penyeludupan barang bersubsidi secara berterusan.
Bagaimanapun, Pengarahnya, Azman Ismail, berkata setiap rampasan dilakukan sama ada membabitkan minyak masak atau barangan lain, pihaknya akan menjalankan siasatan bagi mengesan punca bekalan berkenaan diperoleh.
“Nak kata subahat kemungkinan itu ada kerana ketamakan orang berbeza-beza. Kalau jual biasa harga hanya RM2.50, namun kalau jual di sana (Thailand ) RM4.50.
“Mungkin juga mereka (pemborong) cuba nak cari keuntungan lebih. Bagaimanapun kita akan sentiasa membuat pemantauan terhadap 18 syarikat pembungkusan minyak masak di Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat premis pemborong di Pasir Pekan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya mengakui isu penyeludupan barangan asas ke Thailand sentiasa berlaku terutama membabitkan minyak masak kerana permintaan di negara terbabit begitu tinggi selain harga yang lebih murah.
“Dalam banyak-banyak keperluan asas, minyak masak paling banyak untuk diseludup ke Thailand disebabkan permintaan begitu tinggi berbanding barangan lain.
“Disebabkan itu, KPDN sentiasa menjalankan risikan dan bekerjasama dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi mengekang aktiviti penyeludupan ini,” katanya.
Semalam media melaporkan, PGA mematahkan cubaan menyeludup 13,000 kilogram (kg) gula dan 5,100 peket minyak masak dalam kejadian berasingan menerusi Op Taring Wawasan di Wakaf Bharu di sini.
Dalam operasi itu, PGA turut menahan tiga lelaki berusia antara 24 hingga 56 tahun yang dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup barangan kawalan terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




