Tidak mustahil ringgit capai RM5 berbanding dolar AS

Tidak mustahil ringgit capai RM5 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR – Nilai mata wang ringgit boleh mencecah RM5 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini ekoran ekonomi terbesar dunia itu semakin mengukuh.

Apatah lagi, Rizab Antarabangsa AS (Fed) memutuskan untuk tidak mengurangkan kadar faedah ketika ini, sekali gus mendorong dolar AS terus mengukuh.

“Tiada yang mustahil. Nilai matawang ringgit boleh capai julat RM5, itu kita tidak boleh tolak.

“Ia boleh berada paras itu (RM5), mungkin menjelang akhir tahun ini,” menurut seorang penganalisis ekonomi kepada MalaysiaGazette.

Kemerosotan berterusan nilai ringgit sudah tentu bukan berita gembira kepada rakyat  negara ini kerana banyak implikasinya.

Lagipun, ringgit sudah lama merosot dan masih belum mendapat kekuatan untuk ‘bangun’ semula.

“Jadi sudah tentu ia mempunyai implikasi dalam kos melakukan perniagaan.

“Sebagai mata wang yang lemah, dan terus lemah bermakna kos pengimportan, perjalanan, belian ubat-ubatan, makanan dan lain-lain akan melonjak. Inflasi juga akan naik semula,” tambahnya.

Pada hari Jumaat, ringgit berada pada 4.7765/7820 berbanding dolar AS daripada 4.7800/7850 yang dicatatkan pada hari Khamis.

Mata wang ringgit mencatatkan nilai terendah dalam sejarah (RM4.787) tahun ini berbanding ketika krisis mata wang Asia pada 1998 (RM4.712).

Mengulas lebih lanjut, penganalisis tersebut berkata, meskipun faktor luar menjadi pemacu utama kepada kemerosotan ringgit namun tidak bermakna kerajaan tidak boleh membuat sesuatu bagi mengekang kejatuhan berterusan.

“Kerajaan perlu bertindak dan melaksanakan strategi ampuh dalam menangani kejatuhan ringgit.

“Langkah ini perlu bukan sahaja melibatkan dolar tetapi mata wang asing yang lain juga termasuk ASEAN,” ujar beliau.

Mengimbas semula tahun 2016, penganalisis ini berkata, ringgit telah mengharungi laluan sukar dan menyeksakan ekoran kesuraman ekonomi serta harga minyak tidak menentu.

Pada tahun itu, mata wang Malaysia terjejas teruk, turun sebanyak 4.52 peratus semasa mengakhiri tahun pada 4.4845/4875 berbanding dolar AS.

Lantas Bank Negara Malaysia campur tangan dalam dagangan kontrak hadapan tanpa serahan (NDF) untuk membendung aktiviti spekulasi.

Langkah-langkah yang dilakukan pada tahun 2016 itu berupaya meningkatkan kecairan pasaran pertukaran asing, sekali gus membantu menyokong ringgit daripada terus jatuh

“Kepantasan penurunan ringgit tidak pernah berlaku sebelum ini tetapi sekarang tidak mustahil.

“Oleh itu, kerajaan perlu rangka strategi dengan pantas supaya ia tidak menjejaskan sektor ekonomi domestik ketika sektor itu dilihat masih walaupun masih kukuh sekarang,” tambah beliau.

Indeks Pengeluaran Perindustrian menyusut 0.1 peratus tahun ke tahun pada Disember 2023 dipengaruhi oleh sektor pembuatan selepas merekodkan pertumbuhan positif bagi dua bulan berturut-turut (November 2023: 0.6%; Oktober 2023: 2.4%).

Kemerosotan pengeluaran pembuatan adalah dipengaruhi oleh penurunan yang berterusan dalam industri berorientasikan eksport yang menurun sebanyak 4.1 peratus (November 2023: -2.7%) disebabkan terutamanya oleh kejatuhan dalam pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (-7.2%); pembuatan kok & produk petroleum bertapis (-4.6%); dan pembuatan kelengkapan elektrik (-7.6%).

Penurunan ini juga mencerminkan prestasi eksport negara, yang mengalami kejatuhan secara berterusan kepada negatif yang lebih besar iaitu 10.0 peratus pada Disember 2023. Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport menyusut 3.3 peratus.

Penganalisis berkata, penurunan ringgit juga tidak memacu tempahan baharu dan trend ini berlaku kerana nilai dolar AS yang tinggi dan kos kadar faedah yang tinggi telah mengurangkan minat pembeli. – MalaysiaGazette