Oh! Geekz
Bermula 1 September 2025 di PLUS, mudahkan orang ramai buat laporan kemalangan kecil secara online.
Kalau sebelum ini kita perlu ke balai polis secara fizikal untuk membuat laporan walaupun hanya terlibat dalam kemalangan kecil. Kini orang awam boleh membuatnya dengan cara yang lebih mudah.
Sejak 1 September 2025, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melancarkan projek rintis laporan polis elektronik khas untuk kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Sangat cepat, mesra pengguna dan telus

Dengan sistem baharu ini, pemilik kenderaan persendirian yang terbabit dalam kemalangan kecil tanpa kecederaan atau kerosakan pada harta awam boleh terus membuat laporan secara dalam talian melalui platform e-reporting PDRM.
Inisiatif ini adalah hasil kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dengan Bank Negara Malaysia (BNM). Projek ini telah mengambil masa hampir tiga tahun untuk dibangunkan sebelum dilaksanakan.
Projek ini merupakan inisiatif inovatif berteraskan digitalisasi yang menggabungkan kepakaran kepolisan serta kawal selia kewangan negara terutamanya dari aspek tuntutan insuran bagi memperkukuhkan sistem pelaporan polis secara lebih cepat, efisien dan berintegriti.
Transformasi digital untuk rakyat

Menariknya, usaha ini juga bakal memperluaskan akses masyarakat kepada perkhidmatan polis dalam talian dengan lebih mesra pengguna dan telus.
PDRM percaya pendekatan senegara atau ‘whole of nation approach’ ini dapat menyediakan pilihan lebih mudah untuk orang awam melaporkan kes kemalangan kecil. Ia juga selari dengan aspirasi kerajaan dalam meningkatkan transformasi digital dan mutu perkhidmatan awam.
Dalam mempertingkatkan kecekapan pelaksanaan projek ini, PDRM telah menjalin kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
Inisiatif ini turut mendapat dukungan industri insurans dan takaful melalui penyertaan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Malaysian Takaful Association (MTA).
Pssttt! projek rintis e-reporting PDRM ini memang bagus dan sangat memudahkan, tapi jangan lupa untuk sentiasa berhati-hati di jalan raya kerana pencegahan lebih baik daripada menghadapinya.
Kredit: Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Dapatkan kemaskini harian Oh! Media setiap hari terus di emel melalui langganan percuma di bawah.
Farhan adalah perancang strategik untuk tim Oh! Media yang gemar menulis segmen politik dan tidak ketinggalan meneroka isu-isu semasa. Dengan kepakaran dan minat mendalam, Farhan memastikan setiap penulisannya memberikan perspektif yang bernas dan menarik.