Tidak perlu kontroversi murahan untuk berjaya'

Tidak perlu kontroversi murahan untuk berjaya'

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Ketika dunia hiburan tanah air hangat dengan konflik antara Puteri Balqis dan Mia Sara, nama pelakon remaja sensasi, Qistina Raisah turut tidak terlepas daripada menjadi sasaran netizen yang gemar mengimbau kembali kisah lama.

Enggan terus membiarkan dirinya terperangkap dalam putaran kontroversi, Qistina, 18, tampil bagi menjelaskan pendiriannya secara matang.

Bagi pemilik nama lengkap Nur Qistina Raisah Mohd Kamarol Azri ini, dia sebenarnya penat dengan ‘drama’ dan lebih mementingkan ketenangan jiwa serta masa depannya.

Mengulas tindakan netizen yang membangkitkan semula isu perselisihan faham antaranya dengan Puteri Balqis suatu ketika dahulu, Qistina menyifatkan perkara itu sebagai satu proses pembelajaran dan tidak seharusnya dijadikan alat untuk melaga-lagakan mana-mana pihak semula.

“Sebenarnya, bagi saya kalau orang nak ‘throwback’ (imbau kembali) perkara lama itu tidak mengapa, asalkan tujuannya adalah untuk dijadikan pengajaran kepada semua pihak. Kita ambil yang jernih, buang yang keruh.

“Tapi kalau sekarang ini, saya secara peribadi okay saja. Cuma kalau sampai nak melebih-lebih atau sengaja mahu mencetuskan semula api pergaduhan, saya minta maaf, saya tak mahu tahu apa-apa,” katanya.

Kata pelakon filem Rahsia ini, dia sebenarnya agak terlewat mengetahui namanya kembali tular kerana sibuk menguruskan urusan kerja di luar negara.

“Saya tahu benda itu tular selepas dua ke tiga hari kerana terlalu sibuk bekerja di Brunei. Jadi, bila balik ke sini dan tengok nama kena petik semula, saya rasa biasa saja. Saya dah lali,” katanya

Qistina, 18, yang ditemui pada majlis pelancaran kolaborasi Bayu Somerset X Machino, baru-baru ini lebih selesa memposisikan dirinya sebagai seorang usahawan dan pelakon yang mahu berjaya tanpa bantuan kontroversi murahan.

Menurutnya, fokusnya kini hanya tertumpu kepada tiga perkara utama iaitu keluarga, kerjaya dan perniagaan.

Katanya, tindakan mencampuri urusan orang lain hanya akan membuang masa dan tenaga yang sepatutnya disalurkan kepada perkara lebih produktif.

“Memang saya tak nak masuk campur urusan orang lain. Saya mahu fokus kepada keluarga, hidup saya sendiri dan perniagaan yang sedang saya usahakan.

“Bagi saya, ketenangan diri itu lebih mahal harganya daripada perhatian yang datang daripada berita-berita negatif,” katanya.

Salah satu perkara yang menarik perhatian mengenai pendirian Qistina adalah keterbukaannya dalam memaafkan.

Meskipun pernah melalui fasa disindir dan ditekan secara terbuka di media sosial suatu ketika dahulu, Qistina berkata, dia tidak menyimpan sekelumit pun perasaan dendam terhadap mana-mana individu, termasuklah rakan artis yang pernah berselisih faham dengannya.

Bagi Qistina, prinsip ‘bersih hati’ adalah kunci utama untuk dia terus kekal relevan dan bahagia dalam industri seni yang penuh dengan pancaroba.

“Saya baik dengan semua orang. Prinsip saya senang, kalau jumpa rakan artis atau sesiapa sahaja di majlis-majlis, saya akan salam dan tegur. Saya tetap amalkan sikap rendah diri.

“Kalau orang tak nak tegur atau macam tak nak layan saya, itu terpulang kepada mereka, saya tidak mengapa.

“Tapi saya tidak pernah ada dendam langsung dengan sesiapa pun. Kita nak bersihkan hati kan? Kalau kita simpan benci, sebenarnya kita lagi sakitkan hati sendiri dan serabutkan diri sahaja,” katanya.

Menyentuh mengenai perspektif netizen yang sering menghakimi tanpa mengetahui cerita sebenar, Qistina menyerahkan segalanya kepada penilaian umum.

Dia percaya bahawa setiap individu mempunyai sudut pandang yang berbeza dan dirinya tidak mempunyai kuasa untuk menutup mulut sesiapa daripada terus berkata-kata.

“Pendapat kita semua kan lain-lain. Kalau orang baca sesuatu artikel atau hantaran dan rasa saya yang salah, maka salahlah saya di mata mereka. Saya tak boleh nak paksa orang suka atau sokong saya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top