norhayati_nordin@hmetro.com.my
PADA era 1990-an lalu, nama Haiza cukup dikenali sebagai penyanyi dangdut dengan lagu popularnya, Dag Dig Dug yang masih diingati sehingga ke hari ini.
Meskipun seiring dengan nama penyanyi dangdut lain ketika itu seperti Iwan, Amelina dan Mas Idayu, namun kemunculan Haiza sama sekali tidak kurang hebatnya.
Kini, meskipun sudah tiga dekad atau 30 tahun berlalu, Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 45, masih kekal relevan dalam industri hiburan tanah air.
Cuma seakan tidak lagi aktif menyanyi, wanita asal dari Benut, Johor ini sudah membina nama dan karier sebagai seorang penyampai radio.
Bahkan pada 12 Disember lalu, Haiza meraih rezeki apabila dinobatkan Penyampai Radio Popular pada acara kemuncak Anugerah Bintang Popular BH Ke-37 (ABPBH37).
Berbicara ringkas dengannya mengenai karier lama sebagai penyanyi, ibu seorang cahaya mata lelaki ini memberitahu dia tidak pernah melupakan bidang nyanyian.
“Kalau ditanya mengenai karier nyanyian, saya tidak melupakan. Malah, sebenarnya saya sudah ada perancangan ingin keluarkan lagu baharu pada tahun 2026 ini.
“Lagu baharu itu pun sudah siap saya rakam dan hanya tunggu masa untuk dilancarkan. Mungkin tidak lama lagi sebab kena cari tarikh dan masa sesuai,” katanya.
Bagaimanapun, sebagai penyampai radio sudah semestinya dia harus memberi keutamaan kepada urusan kerja di Kool FM dan komited dengan tanggungjawab digalas.
“Alhamdulillah, saya bersyukur masih ada kontrak untuk berkhidmat dengan Kool FM. Malah, selagi khidmat diperlukan, saya akan terus bekerja dengan stesen radio ini.
“Saya pun seronok bekerja di konti radio bersama rakan penyampai lain melayani pendengar setiap hari dan bersama-sama menghiburkan mereka,” katanya.
Hampir 10 tahun bernaung dengan Media Prima Audio (MPA) sejak 2016 lalu, Haiza mengakui berkhidmat sebagai penyampai radio juga sudah sebati dengan jiwanya.
Apatah lagi katanya, selepas berpuluh tahun aktif dalam industri hiburan dan 2025 membawa memori indah apabila berpeluang merangkul anugerah buat kali pertama.
Katanya, apa yang pasti dia mendapat sokongan padu daripada rakan-rakan penyampai Kool FM yang lain apabila namanya berjaya dicalonkan dalam ABPBH37 lalu.
Mengharapkan bakat dimilikinya terus dihargai, selain menyanyi dan menjadi penyampai radio, wanita berkarisma ini juga sering mendapat peluang sebagai pengacara majlis.
© New Straits Times Press (M) Bhd




