Tidak puas hati bayaran upah dipotong, pekerja binaan bunuh majikan

Tidak puas hati bayaran upah dipotong, pekerja binaan bunuh majikan

MEULABOH – Polis Daerah (Polres) Aceh Barat menahan seorang pekerja binaan berusia 35 tahun dari Desa Srimulyuo, Lampung Tengah, selepas melarikan diri kerana membunuh majikannya, Khairuddin, 65, di sebuah rumah di Meulaboh pada Selasa, 29 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Aceh Barat, AKBP Yhogi Hadisetiawan berkata, suspek ditahan pada Ahad, 3 Ogos oleh anggota Unit Siasatan Jenayah Khas (Resmob) Polis Bengkulu dan kini berada dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah Aceh Barat.

“Suspek telah dibawa pulang dari Bengkulu dan kini direman untuk siasatan lanjut,” katanya kepada media pada Jumaat lalu.

Siasatan awal mendapati mangsa, yang tinggal di Desa Drien Rumpet, Aceh Besar ditemui maut dengan kesan darah di rumahnya di Lorong Kuini, Desa Ujong Baroh, Kecamatan Johan Pahlawan.

Difahamkan, suspek bekerja sebagai tukang pasang jubin di rumah tersebut dan bertindak membunuh mangsa sebelum melarikan diri dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Rush bernombor pendaftaran BL 1628 NM milik mangsa ke arah Medan, Sumatera Utara.

Menurut Yhogi, suspek mengaku bertindak demikian kerana berang dengan bayaran upah yang tidak seperti dijanjikan.

“Suspek memukul mangsa menggunakan besi yang terdapat di dalam rumah,” ujarnya.

Sepanjang cuba melarikan diri, suspek dilaporkan bertukar kenderaan beberapa kali, termasuk menumpang lori dan kenderaan awam, sebelum ditahan di Kota Bengkulu.

Polis turut merampas beberapa barang bukti termasuk sebuah Toyota Rush, sebatang besi sepanjang 43 sentimeter, sebuah telefon bimbit Redmi 5A, pakaian dan kasut milik mangsa.

Suspek akan didakwa di bawah Seksyen 340 Kanun Keseksaan Indonesia mengenai pembunuhan terancang, dibaca bersama Seksyen 339 dan Seksyen 338, yang membawa hukuman mati, penjara seumur hidup atau penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.- Agensi

Scroll to Top