Tidak puas hati bercerai, lelaki mengaku tumbuk pegawai bomba

Tidak puas hati bercerai, lelaki mengaku tumbuk pegawai bomba

MELAKA: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM4,000 kepada seorang lelaki, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan peras ugut serta menumbuk seorang pegawai bomba.

Tertuduh, Noor Alfian Noor Latif, 25, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nabila Nizam selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja melakukan pemerasan terhadap seorang penjawat awam dengan niat mangsa dalam ketakutan dikenakan tindakan dilaporkan kepada ketua jabatan mangsa.

Tindakan itu secara tidak jujur telah mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM19,250 kira-kira pukul 9 malam di Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah, pada 17 Oktober 2023.

Mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga dituduh dengan sengaja memukul dan menumbuk mangsa sama sehingga menyebabkan kecederaan pada pukul 4.21 petang, 3 Mac 2024 di Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, tertuduh memeras ugut mangsa untuk membuat pembayaran RM30,000 dengan tujuan menakut-nakutkan kerana dituduh menjadi punca penceraian rumah tangga tertuduh.

Mangsa menyerahkan wang berjumlah RM19,250 melalui beberapa transaksi dan dalam bentuk tunai.

Pada 3 Mac lalu, tertuduh telah berjumpa dengan mangsa di sebuah rumah beralamat di Bukit Katil sebelum bertindak menumbuk penjawat awam itu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan perlu menanggung seorang anak, ibu dan adik-beradik yang masih bersekolah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal dikenakan.

Mahkamah menjatuhkan penjara sehari serta denda RM3,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan pertama manakala denda RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal bayar bagi pertuduhan kedua. – UTUSAN

Scroll to Top