Tidak salah berbelanja tapi…

Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh

Kuala Lumpur: Ramadan tiba lagi di zaman pasca pandemik yang memperlihatkan kesemua aktiviti-aktiviti telah pun berjalan seperti biasa. Hal ini telah memacu ekonomi negara kita kepada yang lebih baik sekalipun masih bergelut dengan inflasi dan ketidaktentuan harga baranga dan perkhidmatan. Alhamdulillah kita panjatkan atas kurniaan Allah SWT kita masih lagi dikurniakan dengan nikmat Ramadan pada tahun ini.

Berpuasa di bulan Ramadan memiliki objektif tertentu yang bukan hanya sekadar menahan lapar dan dahaga. Ayat 183 Surat al-Baqarah dengan jelas menyebut perkara tersebut:

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa (Surah al-Baqarah: ayat 183).

Matlamat Puasa

Puncak kejayaan seseorang muslim itu ialah mencapai ketakwaan yang hakiki dalam hidup mereka. Seruan ini menjadi rukun dalam khutbah Jumaat yang sering di baca oleh para khatib di mimbar Jumaat dengan ucapan ‘Ittaqullah’. Ia diingatkan setiap minggu supaya fokus umat Islam sentiasa berpaksi kepada pembinaan ketakwaan.

Anugerah Ramadan kepada umat Islam adalah satu medan yang berintegrasikan amalan badaniah dan hati dengan satu tujuan iaitu membina ketakwaan yang tetap dalam jiwa seseoranhg muslim itu. Menurut Imam al-Ghazali puasa itu dilakukan dengan cara menegah manusia dari makan dan minum adalah untuk melemahkan aspek nafsu dan syahwat manusia sekaligus mengukuhkan kekuatan iman dan kecenderungan kepada ibadah serta ketaatan.

Menerusi praktis puasa yang sebenar, seseorang itu pada hakikatnya sedang membentuk satu keperibadian yang mulia bukan sahaja dari segi akhlak dan tingkah laku sesama manusia juga terhadap makhluk-makhluk lain yang berada di alam ini. Hal ini bertepatan dengan anjuran yang Al-Quran yang menggalakkan umat Islam berfikir dan merenung kejadian alam serta bersyukur atas kurniaan yang tidak terhingga sebagaimana firmanNya:

Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya (Ibrahim: 34).

Budaya Pesta Makan

Di Malaysia, selain Terawih dan Tadarus al-Quran, bazar Ramadan adalah satu budaya yang amat sinonim dengan bulan Ramadan yang mulia ini. Boleh dikatakan, setiap kawasan dan daerah di negara ini memperuntukkan tempat yang khusus bagi membolehkan para peniaga menjalankan aktiviti perniagaan dengan lebih tersusun dan berpusat.

Senario seperti ini jika dilihat dari perspektif ekonomi menggambarkan satu perkara yang positif dengan menggalakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pendapatan para peniaga serta meningkatkan aliran tunai kepada produk-produk tempatan secara umumnya. Walaubagaimanapun, jika perbelanjaan individu ketika berbelanja tidak dapat dikawal dan banyak melakukan pembelian hanya mengikut selera ‘orang yang lapar’ sudah pasti akan membawa kepada pembaziran.

Hal ini bukan lagi satu khabar angin atau spekulasi, sebaliknya ia adalah kenyataan yang diakui oleh banyak pihak serta telah pun dibuktikan dengan kajian-kajian terkini. Terbaharu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga menasihati umat Islam untuk tidak membazir di bulan yang mulia ini dan bersungguh-sungguh menumpukan perhatian kepada peningkatan amal dan ibadah.

Pembaziran Berlanjutan

Saban tahun, kes-kes pembaziran masih lagi berlaku dan berulang-ulang setiap kali tibanya Ramadan. Sehubungan dengan itu, Rasmi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah mengambil langkah proaktif dengan melancarkan kempen Value Food No Waste (VFNW) dalam usaha mendidik masyarakat untuk lebih menghargai makanan dan elakkan pembaziran.Sewajarnya, umat Islam lebih menghayati dan menjiwai kempen-kempen sebegini yang juga merupakan salah satu dari nilai-nilai yang dianjurkan Islam sebagaimana terkandung dalam Al-Quran:

Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya (Al-Isra: 27).

Tidak dinafikan budaya ‘berlebih-lebihan’ juga menjadi punca utama pembaziran sebegini berlaku. Kita sentiasa diperdengarkan dengan prinsip ‘biar berlebih dan jangan tidak cukup’ terutama dalam penganjuran majlis berbuka puasa di restoran, masjid dan surau serta majlis tertutup di premis persendirian. Tiada salahnya menghargai tetamu dalam menjamu mereka berbuka, tetapi perlu ada pertimbangan antara hukum sunat menjamu tetamu dan haramnya pembaziran yang memang disengajakan.

Masyarakat muslim di Malaysia perlu membudayakan konsep ‘makan seadanya’ dan bukannya ‘makan segala apa yang ada’ bagi mengimbangi tuntutan agama dan bermasyarakat. Tidak wajar kita mengkritik pihak yang menganjurkan majlis berbuka puasa kerana tidak menyediakan makanan yang mewah dan lebih kerana implikasi ketidakcukupan makanan itu lebih ringan berbanding pembaziran makanan yang berlanjutan.

Perbaiki Niat

Mendapat kurniaan berpuasa Ramadan adalah satu nikmat yang wajib disyukuri. Bulan yang dimuliakan dengan lailatulqadr dan bulan Al-Quran ini perlu dihayati dengan akhlak dan adab yang mulia bagi menjemput keberkatan dan kerahmatan Allah. Justeru, sama-samalah kita memperbaiki niat kita untuk memperolehi tarbiah Ramadan dengan mengurangkan amalan pembaziran yang mampu mendatangkan kebaikan kepada penduduk Malaysia secara umum serta generasi yang akan datang.

Oleh
Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh
Ketua, Jabatan Syariah dan Ekonomi,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
Email: shahid82@um.edu.my