hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Sepang: Sembilan warga India yang menyamar sebagai penumpang baharu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini, antara 13 warga asing ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), semalam.
AKPS dalam kenyataan hari ini berkata, Unit Pemantau AKPS KLIA Terminal 2 berjaya mengesan taktik baharu warga asing dalam cubaan bolos pemeriksaan imigresen di KLIA 2.
Menurutnya, pemeriksaan dijalankan terhadap 270 warga asing dan susulan itu seramai 13 individu ditahan dan ditolak kemasukan ke negara ini membabitkan lapan lelaki dan seorang wanita warga India, serta empat lelaki warga Pakistan.
“Beberapa warga India yang diarahkan menjalani pemeriksaan lanjut di Pejabat Operasi Imigresen dikesan cuba menyamar sebagai penumpang baharu yang baru tiba.
“Mereka dipercayai menukar pakaian di kawasan transit bagi mengelak dikenali dan cuba menyusup semula ke dalam barisan pemeriksaan imigresen seolah-olah baru mendarat,” katanya.
Bagaimanapun, hasil pemantauan rapi serta tindakan pantas pasukan keselamatan AKPS, kesemua suspek berjaya dikesan dan ditahan sebelum sempat melepasi kawalan kaunter masuk imigresen.
“Sebagai langkah pencegahan susulan, AKPS KLIA akan memperkukuh kawalan di kawasan transit melalui peningkatan kekerapan rondaan, pemantauan kamera litar tertutup (CCTV), dan pelaksanaan prosedur pengesanan yang lebih ketat bagi mengelak taktik penyamaran berulang.
“Komuniti KLIA, termasuk kakitangan operasi dan pengendali penerbangan diseru bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang tingkah laku atau pergerakan mencurigakan oleh penumpang warga asing.
“Sokongan dan kewaspadaan bersama amat penting dalam memastikan keselamatan dan integriti pintu masuk negara terus terpelihara,” menurut kenyataan itu lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd