WASHINGTON: Sehari selepas Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) melonggarkan peraturan pemakaian pelitup muka, ramai penduduk di sekitar ibu kota Washington masih mematuhi arahan itu.
Seorang pelajar dikenali sebagai Chloe, mengatakan dia berbuat demikian walaupun sudah menerima suntikan vaksin.
Chloe, 20, menyifatkan pengumuman CDC sebagai memberikan sinar harapan baharu, bagaimanapun merancang untuk terus memakainya.
Ketika ini, hanya 36 peratus individu memperoleh vaksin sepenuhnya di Amerika Syarikat, di mana wabak itu sudah mengorbankan lebih 580,000 nyawa.
Lauren, seorang perunding berusia 36 tahun, memberitahu AFP bahawa dia merancang untuk tetap membawa pelitup muka ketika keluar dan memutuskan akan memakainya apabila merasakan terdapat keperluan berbuat demikian pada setiap jam atau setiap hari.
“Ia menjadi sebahagian wajah kita,” katanya sambil menambah ia kadang-kadang terasa seperti selimut keselamatan.
Pakar kesihatan berkata adalah normal merasa cemas untuk kembali ke kehidupan normal, apabila mengingatkan betapa sukarnya tahun lalu.
Dr Amesh Adalja berkata, sains menunjukkan jika individu diberi vaksin sepenuhnya, virus itu akan bertindak dengan sangat berbeza, oleh itu mereka juga harus berkelakuan berbanding sebelum divaksin.
Beliau yang juga sarjana kanan daripada Sekolah Kesihatan Awam Johns Hopkins Bloomberg, berkata CDC terlalu berhati-hati ketika wabak dan kini mengejutkan semua orang dengan langkah yang nampaknya lebih agresif.
Ketika CDC mengumumkan pada Khamis bahawa individu yang diberi vaksin sepenuhnya tidak lagi perlu memakai pelitup muka di luar rumah, Presiden Joe Biden meraikan keputusan itu, dan menyifatkannya sebagai hari besar bagi negara. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd