am@hmetro.com.my
Baling: Isu lantikan jawatan dalam institusi keselamatan negara tidak seharusnya dijadikan polemik politik atau perkauman, tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Katanya, urusan pelantikan pegawai tinggi sama ada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilakukan menerusi proses saringan ketat, berpaksikan merit dan disiplin perkhidmatan tanpa mengambil kira latar belakang kaum atau agama.
Katanya, keadaan yang berlaku ketika ini tidak terjadi ketika era 90-an, yang mana semua pegawai dilantik ketika itu bekerja dengan penuh harmoni tanpa mengira kaum dan latar belakang.
“Baru-baru ini apabila timbul seorang (individu bukan Melayu) naik pangkat dapat dua bintang… timbul pula dengan buat kenyataan spekulatif, gambarannya adalah kalau keadaan sekarang ini berterusan, maka dikait pula suatu hari nanti Perdana Menteri Malaysia pun (berbangsa) Cina dan segala macam.
“Jadi (ini) keadaan yang cuba kita elak dalam Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum, kalau boleh kita elak. Tidak semua perkara kita kena ulas dari kaca mata perkauman, lebih-lebih lagi institusi ketenteraan, mereka lebih tahu proses naik pangkat, ada (libatkan) Majlis Angkatan Tentera, tapisan dan macam-macam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat tapak projek pembinaan Empangan Sabo di lembangan Sungai Kupang, di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, kenyataan berbaur perkauman amat berbahaya dan tidak mencerminkan semangat perpaduan dalam negara majmuk seperti Malaysia.
Dalam pada itu, Saifuddin turut menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menegaskan supaya tidak ada pihak yang menjadikan agama sebagai alat politik untuk memecah-belahkan perpaduan negara.
Menurutnya, peringatan itu jelas menunjukkan keprihatinan Baginda terhadap keharmonian dan wajar dijadikan panduan oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik.
Saifuddin berkata, perpaduan negara harus sentiasa diutamakan dan semua pihak perlu berhenti memperbesar isu perkauman yang boleh menggugat kestabilan negara.
Sebelum ini, pelantikan Datuk Johny Lim Kean Seng sebagai Leftenan Jeneral ATM mendapat reaksi ahli politik tanah air dengan kenyataan yang didakwa boleh menjejaskan keharmonian antara kaum.
© New Straits Times Press (M) Bhd