Beijing: Seorang pengaturcara di China menjadi perhatian selepas kisahnya tinggal dalam kereta selama hampir tiga tahun tular di media sosial.
Yin yang berusia 38 tahun bekerja di Beijing, sementara isteri dan dua anaknya menetap di Tianjin, kira-kira 130 kilometer (km) dari ibu kota, disebabkan peluang pekerja terhad di bandar kelahirannya.
Lelaki itu berkata, dia akan menghabiskan sepanjang minggu tinggal di dalam keretanya yang lengkap dengan tilam dan kemudahan asas lain, serta akan pulang ke kampung pada setiap Jumaat untuk menghabiskan hujung minggu bersama keluarga.
Pada setiap Isnin pula, Yin akan memandu 130km ke tempat kerjanya di Beijing seawal 5.30 pagi, malah rutin berkenaan dikekalkan selama hampir tiga tahun membolehkan dia berjimat.
Lapor SCMP memetik Xiaoxiang, Yin sebelum ini menyewa flat di Beijing pada harga 2,500 yuan (RM1478.31) sebulan, namun mula tidur di dalam kereta selepas membeli kenderaan elektrik pada 2022.
“Saya sudah tinggal dalam kereta selama tiga tahun. Selagi kereta anda luas dan senang mencari stesen pengecas, pengalaman itu (tidur dalam kereta) tidak jauh beza dengan tinggal di hotel,” katanya.
Yin berkata, dia biasanya akan meletak kenderaan berhampiran taman dan bangun pada 6.30 pagi, berjalan sekitar taman sebelum menyediakan sarapan di dalam kereta menggunakan periuk elektrik kecil.
“Aktiviti riadah saya selepas bekerja, termasuk menonton TV, karaoke, dan menelefon keluarga. Kadang-kadang, saya buat program. Saya tiada hobi lain seperti bermain permainan komputer. Saya biasanya tidur sekitar jam 10 atau 11 malam.
“Selain kesukaran mencari tandas, yang lain-lain semuanya baik,” kongsi Yin.
Katanya, tinggal dalam kereta mengurangkan perbelanjaannya berbanding menyewa bilik atau flat.
Tol bulanan untuk lebuh raya berjumlah 400 yuan (RM236.53), manakala kos cas kereta elektriknya di bawah 300 yuan sebulan. Jika perlu pulang ke kampung pertengahan minggu, tiket kereta api berharga sekitar 100 yuan (RM59.13).
“Saya gemar berkhemah dan sering membawa keluarga saya di mana kami juga tidur di dalam kereta. Saya tak kisah pandangan orang. Saya cuma mahu hidup mengikut cara saya sendiri,” tambahnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd