‘Tidur sebantal, mimpi sama’

‘Tidur sebantal, mimpi sama’

BEREGU lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tidak seharusnya berasa selesa dengan gelaran Super 1000 Terbuka China kerana perjalanan serta cabaran bergelar pemain bebas masih panjang dan berliku.

Penganalisis sukan, Rizal Hasim melihat pasangan nombor lapan dunia itu memperagakan aksi yang konsisten sepanjang tahun ini, namun belum cukup untuk layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris Ogos lalu.

Justeru andai mereka mahu menawan dunia, beliau berkata, ‘DinFei’ perlu memasang misi yang jelas dan menerapkan mentaliti menang yang ampuh.

“Berbeza dengan pemain perseorangan, apabila ada dua orang dan andai mereka mahu menakluki dunia. Kena tidur sebantal dan mimpi yang sama.

Kalau nak juara dunia, dua dua kena ada mentaliti menang. Kalau nak sasar pingat emas Sukan Asia, kena sama-sama nak.

“Terlebih dahulu mereka harus rapatkan jurang dengan bekas juara, dunia Aaron Chia dan Soh Wooi Yik,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Nur Izzuddin-Sze Fei menjadi pasangan kedua negara menjuarai Terbuka China selepas gandingan adik beradik, Datuk Seri Jalani dan Datuk Razif Sidek melakukannya pada 1989.

Gelaran yang diraih Sze Fei-Nur Izzuddin selepas 35 tahun itu dirangkul selepas mereka menumpaskan pasangan tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu 13-21, 21-12, 21-17.

“Kalau kita lihat Din Fei menunjukkan aksi konsisten sepanjang tahun, tetapi tidak memadai untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Mereka muncul naib juara Kejohanan Asia di Ningbo, menang tiga perlawanan beregu lelaki dalam Piala Thomas serta mara ke suku akhir Malaysia Masters, Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia.

“Bukan senang nak kekalkan momentum di pentas antarabangsa, tetapi mereka menang Terbuka Jepun serta Terbuka China dalam tempoh sebulan dan kembali ke senarai ranking 10 terbaik dunia,” ujar Rizal.

Beliau turut berharap beregu negara itu dapat menjalani proses pembentukan yang sistematik daripada aspek pengurusan, latihan dan penajaan bagi membolehkan mereka melangkah jauh di pentas antarabangsa.

“Sebagai beregu bebas, yang penting mereka ada sparring, sistem sokongan ikut formula Lee Zii Jia (pemain perseorangan) dengan jurulatih kecergasan dan pakar fisioterapi yang membantu mereka rehat dan rawat dengan sempurna serta penuhi komitmen dengan penaja,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Scroll to Top