Tiga beranak dipercayai pengikut ajaran The Ahmadi ditahan

Tiga beranak dipercayai pengikut ajaran The Ahmadi ditahan

am@hmetro.com.my

Seremban: Tiga beranak dipercayai pengikut The Ahmadi Religion of Light and Peace atau ajaran The Ahmadi ditahan di kediaman mereka dekat Ampangan, di sini, hari ini.

Tangkapan kira-kira jam 2 petang itu dilakukan Bahagian Penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) hasil risikan selama lima bulan terhadap keluarga berkenaan.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah, berkata, hasil siasatan mendapati tiga beranak berkenaan sudah berbaiah atau bersyahadat dengan ajaran berkenaan.

“Dalam operasi hari ini, kami menahan seorang lelaki berusia 60-an yang juga pesara kerajaan bersama isterinya yang berusia 50-an dan anak perempuannya berumur 20-an.

“Tangkapan dilakukan di sebuah rumah di Ampangan. Ketika pemeriksaan kami menjumpai dan merampas pelbagai bukti berkaitan ajaran berkenaan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, tangkapan berkenaan adalah kali pertama di Negeri Sembilan membabitkan ajaran terbabit yang didapati bertentangan dengan hukum syarak.

“Antara yang dirampas adalah pelbagai dokumen berkaitan ajaran, tablet, buku dan telefon bimbit. Berdasarkan siasatan bukti yang dijumpai memang mempunyai persamaan dengan ajaran Ahmadi Religion.

“Kami turut menemui bukti yang menunjukkan tiga beranak ini sudah berbaiah. Hasil siasatan awal mendapati lelaki berkenaan sudah lama tidak menunaikan solat lima waktu dan berpuasa pada Disember.

“Difahamkan mereka juga terpengaruh dan belajar ajaran berkenaan menerusi media sosial terutamanya Youtube malah difahamkan juga mereka juga cuba menyebarkan ajaran ini,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 52 dan 35 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 pindaan 2019 kerana kesalahan perbuatan dan ajaran salah serta menghasut orang lain melakukan jenayah syariah.

“Pihak kami akan melengkapkan siasatan dan suspek dijangka dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, esok,” katanya.

Harian Metro pada Mei lalu melaporkan, mendakwa ketua ajaran sebagai ‘Imam Mahdi’ sebenar, menolak semua ulama seluruh dunia dan mendakwa semua agama termasuk Islam adalah sesat.

Itu dakwaan satu ajaran sesat dikenali sebagai ‘ajaran Ahmadi’ kononnya mahu membawa manusia kembali ke jalan agama sebenar.

Sumber keselamatan negara memaklumkan ajaran itu ditaksir ekstrem dan menyeleweng berikutan mendakwa ketua mereka sebagai imam Mahdi, menolak ulama dan agamawan seluruh dunia serta mendakwa setiap agama termasuk Islam sebagai sesat.

Katanya, kumpulan terbabit juga giat menyebarkan ideologi mereka menerusi platform media sosial seperti TikTok dan turut mempunyai saluran Telegram.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top