'Tiga bulan untuk isi unit PPR siap'

'Tiga bulan untuk isi unit PPR siap'

farid_noh@bh.com.my

JOHOR BAHRU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mahu setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang siap dibina di negara ini, diisi dalam tempoh tiga bulan berbanding enam bulan sebelum ini.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata ia bagi mengelak PPR yang sudah siap terbina terbiar dan mengalami kerosakan terutama disebabkan laku musnah jika tempoh pengisian mengambil masa yang lama.

“Antara punca kekosongan PPR yang sudah disiapkan sebelum ini ialah proses kelulusan lambat dikeluarkan kerana menunggu pinjaman bank diluluskan.

“Bila ramai tidak layak, unit PPR sudah siap dibina terbiar kosong.

“KPKT mahu beri dahulu individu layak atau sudah dikenal pasti untuk memasuki unit siap dalam tempoh dua tahun sementara mereka menyelesaikan isu kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau PPR Sungai Melana Fasa II yang sudah siap pembinannya.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang.

Zuraida berkata, KPKT juga akan memberikan tempoh tambahan setahun bagi keluarga yang mengalami masalah kewangan tulen selepas diberi kebenaran menduduki PPR dalam tempoh dua tahun.

“Ada keluarga tidak mempunyai masalah membayar sewa bulanan namun bermasalah mendapatkan pinjaman bank bagi sewa beli PPR yang ditawarkan.

“KPKT akan beri tempoh tambahan setahun dan jika tidak berjaya juga, mereka perlu memberi laluan kepada pemohon lain menduduki unit berkenaan,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama Shiau Yoon dan Mazlan mengadakan perjumpaan dengan penduduk Kampung Sinaran Kempas di sini, bagi menyelesaikan masalah setinggan yang berlarutan lebih 20 tahun.

Zuraida berkata, KPKT bersetuju menempatkan 500 penduduk setinggan di Kampung Sinaran Kempas yang menetap di sepanjang rel kereta api di situ, dipindahkan ke PPR Sungai Melana Fasa II yang mempunyai 1,450 unit.

“Kerajaan Johor akan mengadakan perbincangan lanjut dengan penduduk setinggan terbabit dalam masa terdekat dan kita meminta penduduk berkenaan diberi keutamaan menduduki PPR Sungai Melana Fasa II,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top