Tiga calon dalam radar Melaka FC ganti Devan

Tiga calon dalam radar Melaka FC ganti Devan

sukan@hmetro.com.my

Melaka: Tiga jurulatih tempatan kini dalam penelitian pengurusan Melaka FC (MFC) bagi menggantikan khidmat ketua jurulatih, Datuk K Devan yang meletakkan jawatan.

Pengurus MFC, Muhammad Najmi Mohd Nordin berkata, buat masa ini belum ada keputusan membabitkan salah seorang daripada tiga nama berkenaan.

Katanya, keputusan akhir akan ditentukan Presiden MFC, Datuk Nur Azmi Ahmad ke atas senarai nama yang bakal mengendali skuad berkenaan.

Justeru, dia menafikan nama beberapa jurulatih yang kini dikaitkan mengambil alih tugas Devan kerana pihaknya masih dalam penilaian dan penelitian.

“Buat masa ini penolong jurulatih Mohd Asri Ninggal membimbing pasukan selepas Devan dan seorang lagi penolong jurulatih, S Subramanian meletakkan jawatan sebaik aksi MFC berdepan Selangor berakhir beberapa hari lalu.

“Justeru, buat masa ini belum ada perkembangan terbaharu mengenai pengganti Devan. Sementara tiga nama pengantinya yang disenaraikan juga belum diputuskan,” katanya.

Sementara itu, dia juga menafikan khabar angin seorang jurulatih popular di negara ini bakal dilantik menggantikan Devan sehingga tular di media sosial.

Sebelum ini, Devan melepaskan jawatan selepas sehari skuad terbabit tewas 0-2 kepada Imigresen diikuti Subramaniam beberapa hari selepas itu.

Subramaniam yang memikul tugas mengendalikan pasukan ketika menentang Selangor bagaimanapun menjelaskan keputusan yang diambil itu bukan kerana mengikut jejak langkah Devan, tetapi mahu mencari haluan baharu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top