TEHRAN: Tiga daripada tujuh calon pilihan raya presiden Iran menarik diri semalam, kurang 48 jam menjelang hari mengundi esok.
Berikutan itu, Ketua Kehakiman Iran, Ebrahim Raisi disebut-sebut sebagai calon pilihan untuk memenangi pilihan raya Presiden Iran, sekali gus menggantikan Hassan Rouhani yang sudah cukup tempoh memegang jawatan itu selama dua penggal.
Media tempatan melaporkan, Ahli Parlimen ultra-konservatif, Alireza Zakani menarik diri pada sebelah pagi, beberapa jam selepas reformis Mohsen Mehralizadeh melakukan tindakan sama menjelang pemilihan esok.
Pada sebelah petang pula, seorang lagi calon ultra-konservatif, Saeed Jalili, turut menarik diri.
“Sebahagian besar masyarakat sudah memilih saudara saya yang dikasihi, Raisi,” kata Jalili dengan meminta penyokongnya untuk mengundi ulama itu.
Ia sekali gus menjadikan hanya empat calon bertanding pada pilihan raya presiden dengan Raisi dilihat sebagai calon disukai ramai
selepas ahli politik lain dilarang bertanding.
Pengunduran pada saat-saat akhir oleh calon bertanding yang kemudiannya diganti dengan memegang jawatan dalam kerajaan, adalah perkara biasa di Iran.
Zakani, 55, dipetik oleh stesen televisyen nasional sebagai berkata: “Saya percaya dia (Raisi) layak dan akan memilihnya, dan saya berharap apabila dia terpilih akan melakukan pembaharuan kepada negara ini,”.
Agensi berita IRNA dan ISNA melaporkan, beberapa jam sebelumnya, bekas Naib Presiden Iran,Mohsen, 64, juga menarik diri,
Beliau adalah seorang daripada dua reformis yang dibenarkan untuk mencalonkan diri bagi menggantikan Rouhani, yang memegang jawatan bagi tempoh maksimum dua penggal berturut-turut.
Ini menjadikan hanya satu calon reformis yang tinggal dalam pemilihan presiden kali ini, iaitu bekas Ketua Bank Pusat, Abdolnasser Hemmati, 66 tahun. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




