syafil.syazwan@hmetro.com.my
Di sebalik senyuman dan kelunakan suara yang sentiasa menceriakan corong radio dan pentas hiburan tanah air, Haiza akhirnya berdiri di satu titik penuh makna sambutan 30 tahun kerjaya seninya.
Malam penghargaan yang berlangsung baru-baru ini bukan sekadar sebuah acara penuh glamor, tetapi satu detik yang penuh emosi buat penyanyi dan penyampai radio ini.
Timbul rasa gusar untuk mengadakan acara sebegini, sambutan luar jangka daripada jemputan dan sokongan rakan media membuatkannya akur kerana ada sesuatu yang wajar diraikan.
Karier Haiza bermula secara tidak dirancang ketika usianya baru 14 tahun. Ketika uji bakat, dia tersilap pilih lagu dan hampir gagal. Namun, peluang kedua menyanyikan lagu ‘Rindu’ membuka jalan kepada sebuah kontrak rakaman.
“Saya sendiri bukan peminat dangdut waktu itu. Tapi, saya dibentuk untuk genre itu. Lagu awal saya pun disesuaikan dengan usia remaja seperti Jangan Engkau Menggoda dan Aku Tak Rela,” katanya.
Walaupun tanpa guru vokal khusus, Haiza belajar sendiri teknik lenggok dangdut sambil mengekalkan persembahan yang sopan dan tidak keterlaluan.
Perjalanan Haiza tidak hanya terhenti di pentas nyanyian. Penyertaannya dalam Gegar Vaganza memberikan nafas baharu dalam kariernya, membawa kepada ruang lebih luas sebagai penyampai radio.
“Saya bersyukur 30 tahun tanpa banyak kontroversi. Saya selesa dikenali kerana kerja saya, bukan cerita murahan.
“Saya pernah dituduh tak berdisiplin dalam akhbar kerana lewat ke Muzik-Muzik, sedangkan saya waktu itu masih pelajar yang ada kelas tambahan. Saya menangis depan pintu studio,” katanya.
Sebagai meraikan detik 30 tahun ini, Haiza turut melancarkan lagu Dag Dig Dug yang dirakam semula sepenuhnya di Bandung.
“Saya mahukan sesuatu yang segar, lebih muzik ‘live’ dan ada elemen ska. Saya gembira dengan hasilnya,” katanya.
Majlis ulang tahun yang pada mulanya hanya bertujuan memperkenalkan lagu baharu, akhirnya bertukar menjadi malam penuh penghargaan.
“Saya rasa kalau orang datang, mereka tak patut sekadar lihat saya menyanyi. Jadi, saya jadikan persembahan itu satu naratif mengenai perjalanan saya dari dulu sampai sekarang,” katanya.
Haiza bukan hanya bertahan dalam industri selama tiga dekad, tetapi dia juga kekal relevan, bersahaja dan dicintai.
“Saya hanya mahu terus berkarya dengan jujur, selagi diberi ruang dan rezeki oleh Tuhan,” katanya.
Untuk Haiza, 30 tahun ini bukan noktah. Ia sekadar koma dalam manuskrip seni yang masih panjang.
© New Straits Times Press (M) Bhd