Tiga ditahan, merusuh depan rumah di Telok Panglima Garang

Tiga ditahan, merusuh depan rumah di Telok Panglima Garang

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis menahan tiga lelaki tempatan disyaki terbabit rusuhan menggunakan senjata di Jalan Waja, Telok Panglima Garang, Kuala Langat semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Mohd Sufian Amin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 2.51 petang dengan pengadu mendakwa kekecohan berlaku di hadapan rumah.

“Apabila pengadu keluar, dia mendapati bapa saudaranya memegang sebilah parang serta dikepung beberapa individu tidak dikenali yang cuba memukulnya.

“Pengadu segera menghubungi polis, namun suspek melarikan diri sebelum polis tiba di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sufian berkata, susulan aduan polis berjaya menahan tiga lelaki berusia 39 hingga 45 tahun dan siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada perselisihan faham di atas jalan raya ketika menunggang motosikal.

“Dua suspek yang ditangkap adalah lelaki memegang kayu dan seorang lagi pegang parang. Rampasan senjata dibuat dan kita sedang mengesan suspek yang masih bebas,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat 03-31872222 atau melaporkannya di mana-mana balai terdekat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top