Tiga eksekutif jualan tidak mengaku cederakan peguam

Tiga eksekutif jualan tidak mengaku cederakan peguam

GEORGE TOWN: Tiga eksekutif jualan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang peguam lelaki dengan sebatang besi dalam kejadian
di Persiaran Karpal Singh, Oktober lalu.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh, Koay Beng Ghee dan Teh Eng Tat yang masing-masing berusia 36 tahun serta Ng Weng Kooi, 41, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh yang merupakan eksekutif jualan didakwa bersubahat dengan seorang lagi lelaki yang masih bebas untuk melakukan satu kesalahan menyebabkan kecederaan ke atas Beh Hong Shein, 37, dengan menggunakan senjata iaitu sebatang besi.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan mereka di tepi jalan Persiaran Karpal Singh, kira-kira pukul 9.50 pagi, 22 Oktober lalu.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman 10 tahun penjara atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika disabit bersalah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Darrshini, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Md. Yusuf Md. Idris.

Terdahulu, ketika prosiding, Darrshini memohon mahkamah untuk menetapkan jaminan terhadap setiap tertuduh sebanyak RM9,000 beserta syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan mendekati saksi dan mangsa sehingga kes tersebut selesai.

Sementara itu, RSN Rayer yang bertindak sebagai peguam pemerhati meminta mahkamah memberi perhatian serius terhadap kes itu memandangkan kejadian tersebut melibatkan seorang peguam.

Bagaimanapun, Md. Yusuf dalam mitigasinya merayu kesemua anak guamnya diberikan jaminan minimum RM3,000.

β€œAnak guam saya masing-masing hanya memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM2,000 dan perlu menyara ahli keluarga,” katanya.

Majistret kemudiannya membenarkan ikat jamin terhadap setiap tertuduh sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan sepertimana yang diminta pihak pendakwaan.

Scroll to Top