Tiga import baharu IFC bakal 'layan' JDT

Tiga import baharu IFC bakal 'layan' JDT

sukan@hmetro.com.my

Alor Setar: Pengendali Imigresen FC (IFC) Yusri Che Lah mahu memastikan gandingan terbaik di benteng dan tengah bagi menghadapi aksi getir menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan Liga Super di Stadium Negeri Pulau Pinang di Batu Kawan, petang esok.

Beliau berkata strategi skuadnya untuk berhadapan juara Liga Super 11 kali berturut-turut itu adalah dengan membina kekuatan tambahan daripada skuad sedia ada termasuk kemasukan tiga lagi pemain import baharu pasukan bagi mengukuhkan lagi kekuatan skuad Mighty Tigers.

Ia selepas IFC tidak dapat menyenaraikan tonggak pertahanan import, Amirali Chegini yang menjalani penggantungan akibat menerima kad merah pada aksi bertemu Kelantan, 12 Ogos lalu.

“Apabila kita sudah melihat empat perlawanan JDT sebelum ini, kita tahu mereka akan memenangi setiap perlawanan. Untuk itu kami mahu beri saingan terbaik dengan apa yang kami ada kini termasuk import sedia ada yang sudah bersama pasukan sejak lebih dua minggu lalu.

“Perancangan kami adalah meletakkan gandingan yang mampu menyekat dan menutup segenap ruang ancaman terutama daripada gerakan tiga serangkai dimilki JDT iaitu Joao Figueiredo, Jairo Da Silva, kapten pasukan, Samuel Castillejo Azuaga serta beberapa pemain lain, kerana jika diberi peluang akan diterjemahkan dengan jaringan.

“Untuk memastikan kami mendapat keputusan yang positif di laman sendiri, kami merancang memperkuatkan ruang tengah dengan kemasukan seorang pemain import baharu dan dua lagi pemain import dibahagian pertahanan,” katanya sebaik tamat latihan di Padang A Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.

IFC sudah mengumumkan senarai lima pemain importnya iaitu Rafael Iserhard Holstein dan Joao Pedro Boeira dari Brazil, Eduardo Jose Sosa Vegas (Venezuela), Elvis Kamsoba (Australia), Amirali Chegini (Iran) dan Thiha Zaw (Myanmar).

Kemasukan tiga pemain import baharu dalam tempoh terdekat bakal menjadikan skuad Mighty Tigers memiliki lapan pemain import setakat ini.

Yusri juga berkata, beliau sedar cabaran JDT tidak mudah, namun tetap berharap pemainnya terus bersemangat bagi memburu keputusan lebih baik selepas mendapat motivasi kemenangan ke atas Terengganu FC (TFC) dalam saingan Piala FA pada 18 Ogos lalu.

“Untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik, kami perlu gandakan usaha bukan hanya 100 peratus, tapi melebihi apa yang kami,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top