Tiga individu termasuk pegawai KDN ditahan, disyaki terima sogokan urusan percepat permohonan taraf warganegara

Tiga individu termasuk pegawai KDN ditahan, disyaki terima sogokan urusan percepat permohonan taraf warganegara

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiga individu termasuk dua pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) ditahan berhubung kes rasuah berkaitan urusan mempercepatkan permohonan pengesahan taraf warganegara (PTW).

Ketiga-tiga individu ditahan pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam operasi di sekitar Putrajaya di sini, semalam.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 50 hingga 65 tahun itu ditahan antara jam 1 tengah hari sehingga 5 petang.

“Ketiga-tiga mereka ditahan bagi membantu siasatan susulan maklumat yang diterima berhubung kes rasuah berkaitan dengan urusan mempercepatkan permohonan PTW.

“Operasi ini adalah lanjutan daripada Ops Outlander yang dijalankan SPRM baru-baru ini,” kata kenyataan itu.

SPRM berkata, buat masa ini ketiga-tiga individu itu sedang dirakam keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Katanya, pihak KDN memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dalam melaksanakan siasatan kes ini.

Muka depan Harian Metro sebelum ini melaporkan pengamal perubatan bergelar Datuk Seri antara 16 individu ditahan SPRM kerana disyaki terbabit dalam sindiket pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.

Susulan itu, beberapa lagi individu lagi ditahan kerana disyaki terbabit rasuah sama.

Semua individu berkenaan ditahan dalam beberapa serbuan menerusi Ops Outlander dan Ops Birth ke atas beberapa premis termasuk klinik dan firma guaman sekitar Lembah Klang dan Johor.

Serbuan itu dibuat hasil risikan kira-kira setahun dengan kerjasama dan perkongsian maklumat di antara SPRM serta JPN.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top