am@hmetro.com.my
Kota Tinggi : Tiga jurulatih dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), tahun lalu.
Tiga tertuduh, Mejar Mohd Azmi Abu Bakar, 40; Kapten Muhammad Bahauddin Ab Rasid, 30; dan Pegawai Waran Mohd Norbuangani Mislan, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Syamsul Haris Shamsudin, 22 (ketika kejadian), dengan niat hendak menyebabkan bencana tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematian mangsa.
Dengan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di Lapang Sasar Ulu Tiram Utara di sini, antara 2 petang hingga 3 petang, 28 Julai 2025, semua tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif memberitahu mahkamah bahawa kesalahan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan adalah tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Afiqah Musa itu mencadangkan jumlah jaminan RM50,000 bagi setiap tertuduh, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin.
“Atas arahan Jabatan Peguam Negara, kami syorkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan pasport antarabangsa hendaklah diserahkan kepada mahkamah,” katanya.
Semua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu kemudian memohon jumlah jaminan yang lebih rendah memandangkan mempunyai tanggungan isteri dan anak.
Mohd Azmi yang berpendapatan RM9,000 sebulan menanggung seorang isteri dan tiga anak termasuk bayi yang baharu lahir tiga minggu lalu.
Muhammad Bahauddin pula menanggung isteri yang tidak bekerja serta seorang anak berusia dua tahun dengan gaji RM4,000 sebulan, manakala Mohd Norbuangani berpendapatan RM3,000 sebulan menanggung seorang isteri dan tiga anak yang masih bersekolah.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin serta pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah turut menetapkan 13 April depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam, serahan dokumen dan kehadiran peguam pemerhati pihak keluarga mangsa.
Sebaik prosiding selesai, Mohd Azmi tiba-tiba bersuara mewakili dua lagi tertuduh memohon jumlah jaminan RM25,000 itu dikurangkan atas alasan mereka sudah lama berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tidak pernah melakukan kesalahan disiplin sepanjang berkhidmat.
“Kami sudah berkhidmat lebih 20 tahun, kami tidak pernah dihadapkan ke mahkamah. Sebagai penjawat awam, kami bekerja dengan ikhlas, siang malam jaga kadet kami. Kami ada anak isteri. Kami akan pastikan kami akan hadir ke mahkamah, itu janji kami,” katanya.
Hakim Hayda Faridzal kemudian memberitahu tuduhan dihadapi semua tertuduh adalah tuduhan berat, namun akan meringankan syarat penjamin seramai dua orang.
Bagaimanapun, ia tidak dipersetujui semua tertuduh dan Mohd Azmi sekali lagi bersuara memberitahu tidak meminta kejadian yang berlaku itu (kematian mangsa), sebelum hakim memotong kata-katanya.
“Jangan, saya tak boleh dengar fakta kes lagi sekarang (peringkat ini),” katanya.
Mahkamah kemudian menurunkan jumlah jaminan kepada RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
© New Straits Times Press (M) Bhd




