Melbourne: Penantian panjang Jessica Pegula akhirnya berakhir apabila dia melakar kemaraan sulung ke separuh akhir Terbuka Australia selepas menewaskan rakan senegara, Amanda Anisimova.
Pemain pilihan keenam itu menampilkan aksi kemas dan tenang untuk mencatat kemenangan straight set 6-2, 7-6(1) dalam aksi suku akhir di Melbourne Park, sekali gus menebus kekecewaan tersingkir di peringkat sama tiga edisi berturut-turut sebelum ini.
Jessica bermula garang apabila mendahului 4-1 pada set pertama, memanfaatkan kesilapan Amanda yang gagal mengawal emosi dan servisnya sebelum set itu dimenangi dalam tempoh hanya 30 minit.
Amanda cuba bangkit pada set kedua dan sempat mendahului 5-3 selepas mematahkan servis Jessica, namun kegagalan mengekalkan fokus termasuk melakukan double fault memberi ruang kepada Jessica untuk kembali menguasai permainan.
Kedua-dua pemain saling mematahkan servis sebelum perlawanan diheret ke penentuan tie break, menyaksikan Jessica kekal tenang untuk menutup perlawanan, manakala Amanda semakin tertekan.
“Saya memang tunggu saat ini. Saya tahu ia akan datang,” kata Jessica yang sebelum ini sering tersekat di suku akhir.
Kemenangan itu menyaksikan Jessica bakal berdepan Elena Rybakina pada separuh akhir, selepas pemain Kazakhstan itu menyingkirkan Iga Swiatek.
© New Straits Times Press (M) Bhd




