
Tiga kanak-kanak perempuan termasuk dua beradik ditemukan lemas ketika mandi di sebuah telaga bertangga di India.
MADHYA PRADESH – Tiga kanak-kanak perempuan termasuk dua beradik ditemukan lemas ketika mandi di sebuah telaga bertangga di daerah Raisen di sini pada Sabtu, menurut polis.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi di Kampung Sagor, Gairatganj Tehsil yang terletak sekitar 60 kilometer dari ibu pejabat daerah, seorang lagi kanak-kanak yang bersama mangsa terselamat sebelum memaklumkan kejadian kepada ahli keluarga.
Pegawai penyiasat Balai Polis Garhi, Sub Inspektor Virendra Vishwakarma berkata, empat kanak-kanak perempuan mandi di telaga berkenaan sebelum salah seorang daripada mereka tergelincir ke kawasan air dalam sebelum terkapai-kapai lemas.
“Dua lagi kanak-kanak cuba menyelamatkan mangsa, namun ketiga-tiga mereka turut lemas,” katanya.
Mangsa dikenal pasti sebagai Radha Adivasi, 12; kakaknya, Tanu Adivasi, 13; serta sepupu mereka, Amrita Adivasi, 12.
Seorang lagi kanak-kanak, Abhina, 13, yang terselamat berlari pulang ke kampung untuk memaklumkan kejadian tersebut kepada keluarga.
Penduduk kampung bersama ahli keluarga kemudian bergegas ke lokasi sebelum mengeluarkan mangsa dari telaga berkenaan.
Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Awam Gairatganj, namun doktor mengesahkan mereka telah meninggal dunia.
Mayat mangsa diserahkan kepada keluarga selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.
Polis memaklumkan siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan. – Agensi



