GEORGE TOWN : Tiga buah ladang ternakan babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor disahkan positif jangkitan demam babi Afrika atau ‘African Swine Fever’ (ASF) berdasarkan keputusan ujian makmal yang dijalankan oleh Makmal Veterinar Zon Utara.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, dua daripada tiga ladang itu turut menunjukkan kadar kematian ternakan yang tinggi sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap potensi penularan ASF ke ladang-ladang berdekatan.
Beliau berkata, ketika ini, pihaknya bagaimanapun telah mengambil beberapa tindakan kawalan serta pemantauan yang rapi bagi memastikan penularan jangkitan tersebut dapat dibendung dengan segera dan berkesan.
Katanya, antara langkah kawalan yang diambil termasuk mengeluarkan Notis Sekatan dan Larangan Pemindahan Binatang di bawah Seksyen 18, Akta Binatang 1953 (Akta 647) kepada ladang-ladang yang disahkan dijangkiti.
“Langkah lain ialah mengeluarkan arahan sekatan pemindahan babi mengikut rumah sembelih yang ditetapkan bagi mengelak risiko penyebaran penyakit ke kawasan atau daerah lain serta menjalankan pensampelan ke atas babi yang menunjukkan tanda-tanda klinikal di ladang sekitar untuk pengesanan awal.
“Selain itu, JPV Pulau Pinang juga telah meningkatkan pemantauan biosekuriti dan menasihatkan semua penternak supaya melaporkan segera sebarang kematian luar biasa dalam kalangan ternakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Saira Banu berkata, walaupun ASF tidak berjangkit kepada manusia, namun, ia memberi kesan besar terhadap industri penternakan babi, terutamanya dari segi sekatan pergerakan haiwan dan kerugian ekonomi kepada penternak.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua penternak babi supaya meningkatkan langkah-langkah biosekuriti di ladang masing-masing dan mengelakkan kemasukan orang luar atau kenderaan yang tidak disanitasi ke dalam ladang.
“Pada masa yang sama, mereka (penternak babi) juga perlu melaporkan segera kepada pihak jabatan (JPV Pulau Pinang) jika terdapat kematian mendadak atau tanda-tanda penyakit dalam kalangan babi yang diternak.
“Sebarang maklumat atau pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar (PPV) Daerah Seberang Perai Utara atau terus ke JPV Pulau Pinang,” ujar beliau.-UTUSAN