Tiga lelaki didakwa bunuh kanak-kanak ketika merompak

Tiga lelaki didakwa bunuh kanak-kanak ketika merompak

Buenos Aires: Tiga lelaki yang didakwa menembak mati seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dalam cubaan merompak kini berdepan hukuman penjara seumur hidup, lapor Infobae.

Pendakwa Raya Viviana Giorgi pada Isnin memohon hukuman maksimum itu dikenakan terhadap Axel Emiliano ‘Pelusa’ Rojas, 20; Miguel Pastor ‘Patoto’ Romero Molinas, 20; dan Ariel Acuña Vega, 21; dalam perbicaraan yang berlangsung di Tribunal Oral en lo Criminal (TOC) No. 3 Lomas de Zamora di Buenos Aires.

Ketiga-tiga tertuduh dituduh melepaskan tembakan ke arah kenderaan yang dinaiki mangsa, Umma Aguilera, dalam cubaan merompak.

Umma ialah anak kepada pengawal peribadi Menteri Keselamatan Argentina, Patricia Bullrich.

Mereka didakwa sebagai pelaku bersama bagi jenayah rompakan berkumpulan bersenjata di kawasan berpenduduk, jenayah berat kerana pembabitan kanak-kanak bawah umur.

Selain itu, pertuduhan bunuh ‘criminis causa’ yang diperberatkan dengan penggunaan senjata api turut dikenakan terhadap mereka.

Rojas dan Romero Molinas turut menghadapi tuduhan tambahan atas kes rompakan bersenjata lain yang berlaku sebelum kejadian itu.

Dalam hujahnya, Giorgi membahagikan pembentangannya kepada dua bahagian. Bahagian pertama — berkaitan rompakan — dibentangkan dengan kehadiran ibu bapa mangsa.

Beliau kemudian meminta rehat sebentar bagi membolehkan pasangan itu meninggalkan dewan sebelum hujahan berkaitan pembunuhan dibentangkan secara terperinci.

“Ia satu insiden traumatik buat mereka, dan saya tidak mahu menambah derita,” katanya.

Permohonan pendakwa turut disokong oleh peguam yang mewakili keluarga mangsa, yang juga menuntut hukuman penjara seumur hidup terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Mereka menegaskan bahawa kesemua tertuduh bertindak dengan niat membunuh.

Pendakwa turut mencadangkan hukuman penjara 14 tahun ke atas Nahuel Santiago Coman, yang dianggap bersubahat dalam rompakan yang mendahului pembunuhan Umma.

Coman hadir ke perbicaraan dalam keadaan bebas, menyebabkan Giorgi memohon supaya dia ditahan serta-merta.

Seorang lagi tertuduh, Guillermo ‘Paraguayo’ Romero Molinas, yang berusia 17 tahun ketika kejadian, akan dibicarakan secara berasingan di mahkamah juvana bermula 12 Ogos depan.

Peguam bela bagi ketiga-tiga tertuduh bagaimanapun meminta hukuman lebih ringan dan mencabar penggunaan Artikel 80 Kanun Keseksaan, yang menetapkan kesalahan bunuh semasa melakukan jenayah lain (‘homicidio intercriminis’).

Mereka berpendapat pertuduhan itu sepatutnya diklasifikasikan sebagai pembunuhan terancang dan cubaan merompak.

Peguam kepada Romero Molinas berhujah bahawa anak guamnya tidak berniat membunuh seorang kanak-kanak dan tidak memandang rendah kepada nilai nyawa.

Beliau turut menuduh ibu bapa mangsa berbohong dan mendakwa wujud percanggahan dalam keterangan mereka — kenyataan yang mencetuskan ketegangan dalam dewan perbicaraan.

Selepas tujuh jam hujahan, mahkamah menetapkan tarikh keputusan pada Rabu, 18 Jun, jam 12 tengah hari.

Kejadian berlaku pada pagi 22 Januari tahun lalu apabila empat penjenayah menyerang sebuah kereta Ford Ka.

Ketika itu, Umma berada di tempat duduk belakang, manakala bapanya berada di tempat pemandu menunggu ibunya menutup garaj rumah mereka.

Menyedari ancaman, bapa Umma cuba melarikan diri dengan memecut, namun penjenayah melepaskan tembakan ke arah kenderaan yang sedang bergerak.

Salah satu peluru terkena Umma. Suspek kemudiannya melarikan diri menaiki Toyota Corolla yang digunakan mereka sebelum itu.

Umma dikejarkan ke Hospital Gandulfo oleh ibu bapanya dan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Churruca, namun disahkan meninggal dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top