Tiga lelaki lari sekatan jalan raya ditahan, polis jumpa dadah, peranti letupan buatan sendiri

Tiga lelaki lari sekatan jalan raya ditahan, polis jumpa dadah, peranti letupan buatan sendiri

hafidzul@hmetro.com.my

Serdang: Tiga lelaki yang meloloskan diri daripada sekatan jalan raya di Jalan Suakasih, di sini, berjaya ditahan selepas dikejar kira-kira 25 kilometer.

Suspek pada mulanya ditahan dalam sekatan jalan raya untuk pemeriksaan namun secara tiba-tiba memecut laju melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kejadian berlaku pada jam 3.30 pagi ketika sepasukan anggota dari Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menjalankan pemeriksaan ‘snap check’.

“Polis menahan sebuah Honda Civic berwarna kelabu yang dinaiki tiga lelaki, namun kenderaan berkenaan bertindak melarikan diri dengan memecut laju ke arah Seri Kembangan.

“Pasukan polis mengejar kenderaan itu sehingga ke persimpangan Jalan Suakasih menuju ke Lebuhraya Kajang SILK. Kereta suspek kemudiannya hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 5.1 sebelum terbalik di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek adalah lelaki tempatan berusia antara 40 hingga 51 tahun mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.

“Hasil semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai 43 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala seorang daripadanya turut dikehendaki polis di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan menemui pelbagai jenis dadah disyaki termasuk kokain seberat 77.10 gram, ganja (49.28 gram), serbuk ecstasy atau MDMA (54.07 gram), ketamin (30.18 gram), pil yaba (3.20 gram), pil ecstasy (3.40 gram) dan pil Eramin 5 (0.98 gram).

“Turut ditemui ialah satu objek berwarna kelabu yang dibalut plastik lutsinar mengandungi komponen besi dan skru, bersama satu gulung wayar dan satu unit bateri motosikal yang dipercayai peranti bahan letupan buatan sendiri (IED).

“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan ketiga-tiga suspek kini diserahkan kepada pihak IPD Kajang untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3 Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top