Tiga lokasi untuk pesakit Covid-19 di Johor Bahru

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Johor Bahru: Kompleks Sukan Hospital Permai menjadi lokasi terbaru penempatan pesakit Covid-19 berikutan peningkatan kes jangkitan gelombang ketiga bermula awal bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, Kompleks Sukan Hospital Permai yang beroperasi sejak Isnin lalu sehingga kini sudah menempatkan 58 pesakit Covid-19.

Beliau berkata, lokasi tambahan itu mempunyai 75 katil kanvas dari Unit Bencana Lapangan Terbang Senai dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor.

“Dua lokasi pengurusan dan perawatan klinikal pesakit Covid-19 sebelum ini ialah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Blok C Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Johor Bahru dan enam wad khusus di Hospital Permai Johor, adalah di bawah pengurusan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) secara amnya.

“PKRC Blok C ILKKM mempunyai kapasiti maksimum 496 katil yang  beroperasi 4 Disember lalu. Kini ia mempunyai 146 katil dan kapasiti sudah dipertingkatkan berdasarkan keperluan semasa.

“Pesakit yang dimasukkan ke pusat ini adalah pesakit Covid-19 yang dipindahkan dari Wad Covid Hospital Permai Johor Bahru dan Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang. Sejak 4 Disember hingga Selasa lalu seramai 631 pesakit yang dimasukkan ke pusat ini dan 386 orang sudah dibenarkan pulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pesakit Covid-19 tanpa gejala atau dengan gejala ringan juga ditempatkan di enam wad khusus di Hospital Permai Johor Bahru dengan kapasiti terkini sebanyak 244 katil.

Sementara itu, semalam dilaporkan terdapat 105 kes baharu di negeri ini iaitu 61 kes daripada kluster sedia ada, enam kes melibatkan kluster baru, 22 kes saringan kontak rapat kes dan 15 kes daripada lain-lain saringan serta satu kes import, sekali gus menjadikan kumulatif kes adalah sebanyak 2,768 kes.

“Satu kluster baharu dilaporkan semalam iaitu Kluster Cahaya Mahsuri (mukim Tebrau). Kluster ini membabitkan daerah Johor Bahru, Kota Tinggi dan Pontian yang menjadikan kumulatif kluster aktif di Johor sebanyak 20 kes,” katanya.

ZA137 Malay News

National Desk