Tiga mata Arab Saudi 'dirampas'

Tiga mata Arab Saudi 'dirampas'

Melbourne: Arab Saudi terlepas peluang meraih tiga mata apabila gol pada masa kecederaan dibatalkan pengadil sekali gus terikat tanpa jaringan dengan Australia dalam Kelayakan Piala Dunia 2026.

Perlawanan yang dilangsungkan AAMI Park di Melbourne itu, menyaksikan kedua-dua pasukan sekadar berpuas hati dengan satu mata meskipun Arab Saudi memiliki beberapa peluang keemasan meraih gol.

Arab Saudi yang baharu melantik pengendali dari Perancis, Herve Renard menyangka mereka meraih kemenangan selepas Sultan Al-Ghannam menjaringkan gol pada minit ke-93 menerusi satu rembatan padu dari dalam kotak.

Begitupun, penjaga garisan mengangkat bendera selepas salah seorang pemain Arab Saudi dikesan berada pada kedudukan offside.

Keputusan itu menghampakan kem pelawat yang menguasai aksi sepanjang perlawanan itu dengan pasukan tuan rumah lebih banyak bertahan.

Antara peluang terbaik Arab Saudi menerusi percubaan Nasser Al-Dawsari yang berjaya ditepis oleh penjaga gawang Australia, Joe Gauci pada minit ke-26 permainan.

The Socceroos turut mempunyai peluang pada hujung babak pertama namun sepakan lemah Ajdin Hrustic berjaya ditangkap kemas oleh Ahmed Al Kassar.

Saingan kumpulan C selepas ini menyaksikan Australia akan berkunjung ke Manama untuk bertemu Bahrain, sementara Arab Saudi bakal berdepan Indonesia di Jakarta pada minggu hadapan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top