Tiga mata ibarat 'nyawa' baharu City

Tiga mata ibarat 'nyawa' baharu City

Liverpool: Kapten Manchester City, Bernardo Silva berkata, hanya kemenangan di Anfield mampu meneruskan impian mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan misi itu tercapai selepas menang 2-1 ke atas Liverpool, awal pagi tadi.

City hampir ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu liga, Arsenal, apabila mereka dibolosi menerusi sepakan percuma menarik Dominik Szoboszlai di lewat permainan.

Namun, gol penyamaan Silva pada minit ke-84 mencetuskan penamat perlawanan yang dramatik.

Erling Haaland kemudian meletakkan City di hadapan pada minit ketiga masa kecederaan, namun drama dan kontroversi masih belum berakhir.

Penjaga gol City, Gianluigi Donnarumma, melakukan penyelamatan luar biasa untuk menafikan jaringan penyamaan oleh Alexis Mac Allister.

Rayan Cherki menyangka dia mengesahkan kemenangan City apabila melorongkan bola ke gawang kosong dari tengah padang ketika penjaga gol Liverpool, Alisson Becker, mara ke hadapan untuk mencari gol penyamaan.

Bagaimanapun, jaringan itu dibatalkan selepas Szoboszlai menarik Haaland sebelum penyerang Norway itu bertindak balas dengan cara sama.

Szoboszlai sebaliknya dilayangkan kad merah kerana melakukan kesalahan pertama.

“Memandangkan jarak mata kami dengan Arsenal, datang ke sini adalah perlawanan paling sukar dalam Liga Perdana Inggeris,” kata Silva.

“Saya rasa seluruh pasukan sedar sebelum perlawanan, jika kami kalah, saingan kejuaraan mungkin sudah berakhir. Kami tahu kami perlu menang.

“Harapan masih ada dan kami akan berjuang hingga ke penghujung. Kami perlu terus melakukan tugas kami, yang kami gagal lakukan sejak kebelakangan ini.”

Kemenangan itu yang pertama buat City di Anfield di hadapan penyokong sejak 2003, selain melengkapkan kemenangan dua kali ke atas Liverpool dalam saingan liga buat kali pertama sejak 1937.

“Sangat gembira, tetapi tiga mata ini sama nilainya dengan perlawanan lain,” tambah Silva.

“Permulaan tahun ini agak mengecewakan kerana kami tidak menjalankan tugas dengan baik. Kami sepatutnya boleh lebih hampir dengan Arsenal.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top