SANDAKAN: Tiga lelaki maut apabila kenderaan dinaiki terbabas sendiri di bahu jalan di Jalan Lintas Sibuga pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, kenderaan dinaiki mangsa didapati terputus dua akibat merempuh pokok di pembahagi jalan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) daerah, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.40 pagi dan sepasukan pegawai berserta anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
Sebaik sahaja tiba di lokasi, terdapat tiga mangsa yang tersepit dalam kenderaan yang terbabas di bahu jalan.
“Dua daripada mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam manakala, seorang mangsa dikeluarkan oleh pasukan bomba.
“Mayat ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.06 tengah hari.-UTUSAN ONLINE