Tiga negara di Asia Tenggara sekat penggunaan Grok

Tiga negara di Asia Tenggara sekat penggunaan Grok

San Francisco: Kemarahan global terus memuncak pada Khamis berhubung imej ‘deepfake’ berunsur seksual yang dihasilkan oleh alat kecerdasan buatan (AI) milik Elon Musk, Grok.

Keadaan itu berlaku walaupun platform media sosial X menyatakan bahawa ia sudah menyekat chatbot berkenaan daripada menghasilkan imej tidak sopan di lokasi tertentu.

Filipina kini menjadi negara ketiga yang menyekat Grok dengan mengharamkan chatbot itu selepas ia diharamkan Indonesia dan disekat sementara oleh Malaysia.

Britain serta Perancis turut menyatakan bahawa mereka akan mengekalkan tekanan selepas chatbot itu menghasilkan lambakan foto lucah wanita dan kanak-kanak.

X sebelum ini mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan sekatan geografi, menghalang semua pengguna daripada menghasilkan imej individu berpakaian menjolok mata di bidang kuasa yang melarang tindakan sedemikian.

Pengumuman itu dibuat selepas Peguam Negara California melancarkan siasatan terhadap xAI iaitu pembangun Grok berhubung bahan eksplisit secara seksual.

Susulan kekecohan awal minggu lalu, Grok mengehadkan penghasilan imej kepada pelanggan berbayar sahaja yang mencetuskan kritikan bahawa syarikat itu cuba mengaut keuntungan daripada isu terbabit.

Akibat tunduk kepada tekanan global, X pada Rabu mengumumkan bahawa ia akan menyekat semua pengguna termasuk pelanggan berbayar daripada menyunting imej individu berpakaian menjolok mata.

Namun, hanya beberapa jam kemudian, Filipina mengumumkan sekatan serta-merta terhadap Grok pada lewat Khamis bagi membersihkan internet daripada kandungan toksik.

Sementara itu, Malaysia pada Khamis memaklumkan bahawa badan kawal selianya mendapati langkah keselamatan yang diambil oleh pihak X masih belum dilakukan secara menyeluruh.

Perdana Menteri Britain, Keir Starmer turut menyambut baik tindakan X namun menegaskan bahawa pematuhan penuh terhadap undang-undang United Kingdom mesti berlaku serta-merta.

Satu gabungan kumpulan masyarakat sivil turut mengemukakan surat terbuka menggesa Apple dan Google mengharamkan Grok serta X daripada stor aplikasi mereka susulan lonjakan imej seksual itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top