Tiga pegawai tertinggi tentera El Salvador dipenjara 30 tahun bunuh wartawan

Tiga pegawai tertinggi tentera El Salvador dipenjara 30 tahun bunuh wartawan

MEXICO CITY – Sebuah mahkamah di El Salvador pada Jumaat menjatuhi hukuman penjara 30 tahun ke atas tiga pegawai tertinggi tentera kerana membunuh empat wartawan Belanda pada 1982 ketika mereka membuat dokumentari televisyen mengenai perang saudara di negara Amerika Tengah itu, lapor agensi berita Jerman, dpa.

Bekas Menteri Pertahanan, Jeneral Jose Guillermo Garcia, 91, Kolonel Francisco Antonio Moran, 93, dan Kolonel Mario Adalberto Reyes Mena, 85, telah didapati bersalah, menurut peguam keluarga mangsa susulan kenyataan bertulis daripada hakim yang mempengerusikan kes itu.

Menurut Kanun Jenayah yang berkuat kuasa pada masa jenayah itu berlaku, hukuman berkenaan merupakan hukuman penjara maksimum yang boleh dikenakan, kata peguam Gustavo Huezo.

Wartawan Belanda Jan Kuiper, Koos Koster, Joop Willemsen dan Hans ter Laag terbunuh dalam satu operasi ketenteraan yang menyasarkan kumpulan gerila.

Mahkamah yang bersidang di Chalatenango turut mendapati kerajaan El Salvador bersalah kerana melengahkan perbicaraan kes itu.

Mahkamah juga memutuskan bahawa Presiden Nayib Bukele, selaku panglima tertinggi angkatan tentera, perlu membuat permohonan maaf secara terbuka.

Garcia dan Moran kini ditahan di sebuah hospital swasta, manakala Reyes Mena sedang menunggu proses pengusiran dari Amerika Syarikat.

Lebih 70,000 orang terbunuh dalam perang saudara antara kumpulan pemberontak sayap kiri, “skuad pembunuh” sayap kanan dan tentera yang berlaku dari 1980 hingga 1992. – Bernama

 

 

Scroll to Top