harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebuah restoran milik warga Bangladesh yang dipercayai menggajikan pendatang asing tanpa izin (Pati) diserbu dalam Ops Selera di Bukit Bintang, di sini, malam tadi.
Operasi yang bermula kira-kira jam 10 malam oleh sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menahan tiga pekerja lelaki warga Bangladesh.
Seorang pekerja tempatan mendakwa premis terbabit dimiliki abang iparnya yang juga warga Bangladesh berusia 50-an sejak kira-kira 10 bulan lalu.
“Saya baru bekerja di sini sebagai cashier (juruwang), sebelum ini saya duduk kampung dan buat kerja-kerja kampung sahaja di Kedah.
“Pekerja ada lebih kurang 10 orang termasuk warga asing dan orang Malaysia.
“Pekerja warga asing ini, dia (abang ipar) yang uruskan, mungkin dalam kalangan rakan-rakan dia, saya tak pasti,” kata lelaki berusia 25 tahun itu ketika ditemui, di sini.
Tinjauan di lokasi mendapati premis berkenaan menjual makanan dari Bangladesh dan kebanyakan pelanggan juga difahamkan dalam kalangan warga negara terbabit.
Difahamkan, pemilik restoran terbabit turut menjalankan perniagaan hotel yang terletak di atas restoran terbabit.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai 20 warga asing diperiksa di premis terbabit dan tiga daripada mereka didapati tiada permit kerja yang sah.
“Pasukan turut membuat pemeriksaan ke atas 11 warga asing di sekitar premis terbabit dan menahan tujuh Pati kerana disyaki tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Mohammed Saupee berkata, pihaknya turut melakukan dua lagi serbuan di Setapak dan Cheras menerusi Ops Sapu serta Ops Kutip.
Menurutnya, seramai enam individu diperiksa dengan tiga Pati ditahan kerana didapati tinggal lebih masa menerusi serbuan ke atas sebuah rumah teres dimiliki seorang warga tempatan di Cheras.
Katanya, serbuan ke atas sebuah kondominium di Setapak, di sini, pula menahan empat Pati tanpa sebarang dokumen perjalanan.
“Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd