Tiga pelajar ditahan curi duit tabung surau dan motosikal

Tiga pelajar ditahan curi duit tabung surau dan motosikal

am@hmetro.com.my

Iskandar Puteri : Polis menahan tiga pelajar lelaki berusia antara 13 hingga 15 tahun kerana disyaki terbabit dalam beberapa kes kecurian wang derma tabung surau di sekitar Kangkar Pulai, di sini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, berkata pihaknya menerima laporan kejadian kecurian itu kelmarin.

Katanya, bertindak atas laporan, pihaknya menahan ketiga-tiga remaja yang masih bersekolah itu antara jam 11.10 hingga 11.41 malam semalam di kawasan Kangkar Pulai.

“Susulan penahanan ketiga-tiga suspek, polis merampas dua tabung surau dan sebuah motosikal yang dipercayai dicuri.

“Kita percaya berjaya menyelesaikan tiga kes kecurian wang derma tabung surau serta satu kes kecurian motosikal yang dilaporkan berlaku di kawasan Kangkar Pulai sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, ketiga-tiga suspek kini direman selama lima hari bermula hari ini hingga Rabu depan bagi membantu siasatan lmengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan dengan niat melakukan jenayah.

Kumarasan berkata, pihaknya komited untuk bekerjasama dengan masyarakat bagi membanteras sebarang aktiviti jenayah di daerah berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622 atau hotline 07-5114486.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top