Tiga pemungut derma depan bank didenda RM2,000

Tiga pemungut derma depan bank didenda RM2,000

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Tiga lelaki yang melakukan aktiviti memungut derma khairat di hadapan sebuah bank, di sini, didenda masing-masing RM2,000 oleh Mahkamah Syariah, hari ini.

Kesemua mereka berumur lingkungan 20-an dan 30-an didapati bersalah memungut derma tanpa kebenaran di beberapa lokasi di sekitar daerah ini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor 2003.

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menahan semua lelaki itu pada antara jam 5 hingga 6.30 petang semalam, dan didapati bukan berasal dari negeri ini.

“Mereka ditangkap di bank di Kota Tinggi dan Bandar Penawar. Turut disita adalah tabung berisi wang tunai berjumlah RM155.80, RM25.10 dan RM81.

“Tabung dipromosikan untuk pembangunan anak yatim, pembinaan masjid dan asrama anak yatim di negeri di luar Johor, dan disertakan bersama beberapa surat sokongan dan gambar untuk mengaburi mata orang ramai.

“Namun dokumen itu tiada kena mengena dengan kebenaran mengutip derma di Johor. Kumpulan ini juga bergerak secara berkumpulan, menaiki kereta dan menjadikan masjid di Johor Bahru sebagai tempat tidur setiap malam,” kata kenyataan itu.

Menurut JAINJ, ketika operasi, beberapa ahli kumpulan berjaya melarikan diri sebaik melihat penguat kuasa.

Terdahulu, penguat kuasa JAINJ melaksana serbuan berkenaan dengan kerjasama penghulu dan ketua kampung.

JAINJ menasihatkan orang ramai agar tidak menyumbang kepada derma yang meragukan dan tiada kebenaran, manakala pihak yang bercadang memohon sumbangan, diminta mengikut saluran betul dengan memohon melalui Pejabat Kadi Daerah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top