Tiga 'PORT' senja menarik

Tiga 'PORT' senja menarik

nurul_husna@mediaprima.com.my

DESTINASI ‘makan-makan’ yang jadi tumpuan tidak semestinya hanya kerana keenakan makanan dan seni kulinarinya yang cantik.

Ada kalanya, panorama disajikan cukup mendamaikan dan ia menjadi daya penarik untuk orang ramai mengunjunginya.

Satu daripada panorama sukar ditolak dan sering menjadi sebab untuk orang berkunjung ialah pemandangan matahari senja yang indah.

Bayangkan, gabungan pola warna jingga pastel, merah muda (pink) dan kuning yang lembut perlahan beransur menjadi ungu dan biru gelap.

Fenomena alam ini menciptakan suasana romantis dan tenang apabila siluet terang gelap yang kontra, menjadikannya inspirasi popular untuk fotografi dan seni visual.

Dipadan pula dengan aura yang santai dan lampu kecil yang menerangi ruang menjamu selera, ia boleh menjadikan pengalaman di lokasi itu cukup menenangkan.

Bagi peminat panorama senja, ada lokasi atau tarikan terbaru boleh dikunjungi bersama keluarga.

Malah lokasi ini tidak jauh dari Lembah Klang dengan kunjungan selama sehari sudah memadai untuk bersantai bersama keluarga.

Berikut beberapa lokasi menarik yang boleh difikirkan bagi menghayati panorama senja.

1. Kota Warisan, Sepang

Mendengar sahaja lokasi dan daerahnya, tentu sahaja ramai menganggapnya sebagai tempat menyaksikan kapal terbang berlepas dan mendarat.

Malah tidak kurang juga menyangka ia lokasi perlumbaan atau ‘gig’ kenderaan menguji litar.

Sebenarnya ada lokasi menarik untuk menikmati suasana senja di Kota Warisan iaitu Hilltop Cruisine Kota Warisan.

Destinasi ini menjadi pilihan peminat panorama senja dengan banyak ruangan untuk bergambar tersedia.

Lokasi makan-makan yang terletak di kawasan berbukit itu popular dengan suasana ‘healing’ dan pemandangan matahari terbenam yang cantik, menjadikannya lokasi buruan peminat hidangan barat di Sepang.

2. Pasir Penambang, Kuala Selangor

Peminat hidangan laut semestinya sangat arif dengan pemandangan senja daripada perkampungan nelayan.

Lokasi seperti Pasir Penambang kerap menjadi tumpuan setiap kali musim percutian atau apabila gaji masuk.

Bayangkan deretan restoran makanan laut yang menawarkan pemandangan Sungai Selangor yang mendamaikan, terutama ketika waktu matahari terbenam.

Malah lokasi ini kerap menjadi pilihan pelbagai golongan yang mahu menikmati juadah hidangan laut di waktu malam.

Antara restoran di lokasi ini yang kerap menjadi tumpuan ialah River View Seafood Restaurant, Restoran Makanan Laut Jeti, Restoran Mee Udang Banjir dan banyak lagi.

3. Bukit Ampang, Ampang

Lokasi ini terkenal sebagai destinasi popular untuk makan-makan, terutama pada waktu senja kerana pemandangannya yang menakjubkan yang menghadap ke kaki langit Kuala Lumpur (KL Skyline).

Pengunjung boleh melihat Menara Petronas (KLCC) dan Menara Kuala Lumpur yang mula menyala sebaik sahaja matahari terbenam.

Malah mereka boleh menikmati pemandangan udara yang lebih sejuk (berbanding di bandar) dan angin sepoi-sepoi bahasa.

Lokasi berbukit ini juga ideal untuk lepak bersama rakan-rakan atau makan malam romantik.

Pada waktu puncak iaitu jam 6 petang hingga 6.30 petang, ramai yang datang untuk merakam gambar ‘golden hour’.

Ia merujuk kepada senario pertukaran warna langit daripada oren kebiruan kepada malam yang gelap dengan cahaya bandar yang gemerlapan.

Pengunjung boleh memilih untuk menikmati sajian dengan berada di kafe atau restoran berhampiran seperti Restoran G.S. Nathan Corner (Ampang Hill), ‘Little Salty Cafe’ atau Puncak Alop.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top