Bogota: Susulan pertemuan luar jangka antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Colombia, Gustavo Petro, tiga raja dadah Colombia kini menjadi sasaran pemburuan bersama kedua-dua negara itu.
Mereka adalah pemimpin kepada tiga kumpulan jenayah utama dalam konflik enam dekad yang menyaksikan serangan dron dan bom, pertempuran bersenjata serta penculikan kanak-kanak untuk dijadikan tentera kanak-kanak.
Kesemua mereka dikehendaki di AS, dan beroperasi secara sulit.
‘Chiquito Malo’
Difahamkan, Jobanis de Jesus Avila atau ‘Chiquito Malo’mengambil alih pimpinan Klan Teluk, kumpulan jenayah terbesar Colombia, pada Oktober 2021 selepas pendahulunya Otoniel ditangkap dan diekstradisi ke AS.
Kartel itu dipercayai terbabit dalam perdagangan kokain, perlombongan emas haram dan penyeludupan manusia serta berasal daripada pergerakan separa tentera yang muncul pada 1990-an.
Ivan Mordisco
Dalam pada itu, Nestor Gregorio Vera atau Ivan Mordisco pula menjadi antara penjenayah terbesar Colombia selepas menolak perjanjian damai Angkatan Tentera Revolusi Colombia (FARC) pada 2016.
Dia kini mengetuai kumpulan pembangkang Central General Staff (EMC) dan dianggap penjenayah paling dikehendaki di negara itu dengan ganjaran kira kira AS$1 juta (kira-kira RM3.95 juta).
Mordisco pernah muncul secara terbuka pada April 2023 ketika mengumumkan rundingan damai yang kemudiannya gagal di sebuah kawasan hutan terpencil.
Pablito
Bagaimanapun, Gustavo Anibal Giraldo atau Pablito pula dikenali sebagai individu utama dalam kumpulan gerila Tentera Pembebasan Nasional (ELN).
Dia pernah mengetuai barisan Domingo Lain yang beroperasi di sepanjang sempadan Colombia dengan Venezuela dan kini berada di tangga ketiga kepimpinan ELN.
Pablito dituduh mengarahkan serangan bom kereta di sebuah sekolah ketenteraan di Bogotá pada 2019 yang mengorbankan 23 orang dan menyebabkan rundingan damai runtuh.
© New Straits Times Press (M) Bhd




