Tiga rakyat Malaysia ditahan di Taiwan didakwa mangsa eksploitasi sindiket penipuan

Tiga rakyat Malaysia ditahan di Taiwan didakwa mangsa eksploitasi sindiket penipuan

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Rakyat Malaysia yang ditahan di Taiwan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penipuan, didakwa sebenarnya mangsa eksploitasi sindiket berkenaan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, dakwaan itu berdasarkan maklumat dan bukti dikemukakan keluarga individu berkenaan.

Katanya, mereka dipercayai dipaksa melakukan aktiviti terbabit, selain pasport dipegang pihak sindiket.

Hishamuddin berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan rasmi dengan Kementerian Luar bagi membincangkan nasib rakyat Malaysia itu serta menyelaraskan usaha membantu keluarga mereka.

Katanya, maklumat daripada keluarga menimbulkan persoalan mengenai kebebasan individu itu membuat keputusan, dan keadaan sebenar yang membawa kepada pembabitan mereka dalam aktiviti berkenaan.

Berdasarkan keterangan keluarga, mangsa dipercayai dipaksa terbabit dalam aktiviti pengeluaran wang melalui mesin ATM di Taiwan.

“Pasport mereka juga didakwa dipegang oleh sindiket, sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai kebebasan mereka untuk membuat keputusan dan keadaan sebenar yang membawa kepada pembabitan mereka dalam aktiviti itu.

“Dakwaan bahawa mereka tidak bertindak secara sukarela dan tidak mempunyai niat jenayah seperti disyaki, perlu diteliti secara menyeluruh supaya setiap kes dinilai berdasarkan fakta serta bukti ,” katanya menerusi kenyataan.

Hishamuddin berkata, MHO berpandangan semua maklumat perlu diteliti secara menyeluruh supaya keadaan sebenar dihadapi setiap individu dapat dinilai secara adil.

Beliau berkata, jika terdapat unsur paksaan, penahanan pasport atau eksploitasi oleh sindiket, ia perlu disiasat dengan teliti dan diambil kira dalam proses keadilan.

Katanya, MHO akan bekerjasama dengan Wisma Putra dan perwakilan Malaysia di Taiwan bagi mengenal pasti saluran bantuan serta perkhidmatan perundangan bersesuaian untuk keluarga individu terbabit.

“Kerjasama ini penting bagi memastikan keluarga mendapat maklumat sewajarnya, selain dapat meneroka langkah undang-undang yang tersedia untuk membela nasib ahli keluarga masing-masing.

“MHO turut berharap koordinasi antara kerajaan, perwakilan Malaysia di Taiwan dan pihak berkaitan dapat membantu memperjelas kedudukan setiap kes, khususnya berhubung dakwaan eksploitasi serta unsur paksaan oleh sindiket jenayah rentas sempadan.

“Keutamaan kami adalah memastikan dakwaan bahawa mereka adalah mangsa eksploitasi, disiasat secara menyeluruh dan setiap kes dinilai secara adil berdasarkan bukti serta keadaan sebenar,” katanya.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan tiga rakyat Malaysia ditahan di Kaohsiung, Taiwan kerana disyaki menjadi keldai wang sindiket penipuan.

Central News Agency (CNA) melaporkan, ketiga-tiga suspek lelaki berusia 18, 26 dan 39 tahun itu memasuki Taiwan sebagai pelancong sebelum ditahan secara berasingan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top