hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tiga rumah dan tiga motosikal musnah terbakar dalam kejadian di Pintasan Raja Muda Musa 4, Kampung Baru, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa, Mohamad Riduan Akhyar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.39 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kejadian membabitkan 12 mangsa namun tiada mangsa yang dilaporkan cedera dan ketika bomba tiba di lokasi, semua penghuni rumah berkenaan sudah keluar menyelamatkan diri.
“Kebakaran itu menyebabkan dua unit kediaman musnah sebanyak 100 peratus dan sebuah unit lagi musnah terbakar 40 peratus.
“Bomba berjaya mengawal kebakaran pada 10.13 pagi dan kami menjalankan kerja overhaul untuk memastikan keadaan selamat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Bagaimanapun katanya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak forensik pasukan bomba.
Katanya, operasi turut mendapat bantuan daripada BBP Sentul dan BBP Jalan Hang Tuah membabitkan seramai 24 orang anggota dan dua jentera Fire Rescue serta masing-masing sebuah jentera Tender (FRT), jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan jentera tangki air.
© New Straits Times Press (M) Bhd