am@hmetro.com.my
Shah Alam: Tiga sekeluarga berdepan detik cemas apabila tanah runtuh terkena dapur rumah mereka dalam kejadian di Kampung Orang Asli Bukit Manchung, Bukit Beruntung, Hulu Selangor, semalam.
Difahamkan, kejadian berlaku di bahagian belakang kediaman terbabit.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Hulu Selangor berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 6.30 petang.
Beliau berkata, sepasukan dua anggota kemudian bergegas ke lokasi bersama tiga anggota Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Selangor.
“Sebaik tiba, anggota segera membuat pemantauan dan didapati pergerakan tanah masih berlaku selain keadaan cuaca yang hujan.
“Selain itu, didapati juga ada satu aliran air di sekitar kawasan tanah runtuh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Agensi itu berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pihaknya akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.
Pada masa sama, tiada keperluan untuk membuka pusat pemindahan sementara (PPS) kerana mangsa sudah berpindah ke rumah ahli keluarga yang berhampiran.
Dalam perkembangan lain, kejadian serupa turut berlaku di Jalan Sungai Buaya iaitu 300 meter selepas ‘crossing’ jambatan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menuju ke Tol Sungai Buaya.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Selangor memaklumkan, laluan itu ditutup satu lorong dan kenderaan berat diarah untuk menggunakan Tol Bukit Beruntung.
© New Straits Times Press (M) Bhd




