NEW YORK: Tiga syarikat gergasi industri kapal persiaran akan kembali menawarkan perkhidmatan dalam beberapa minggu akan datang dengan Norwegian Cruise Lines menjadi syarikat terkini mengumumkan pelayaran bermula awal Ogos.
Selepas setahun mengalami kerugian akibat penularan COVID-19, Carnival dan Royal Caribbean minggu lalu mengumumkan kapal persiaran syarikat itu akan mula beroperasi Julai ini selepas Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC) awal bulan ini memberikan lampu hijau kepada industri kapal persiaran dengan syarat semua penumpang dan kru kapal divaksinasi.
“Kami menunggu waktu yang sangat lama untuk mengumumkan kembali pelayaran dari AS. Kami sangat bangga dapat berlayar untuk pertama kalinya dalam tempoh lebih setahun dari Seattle ke Alaska yang menakjubkan,” kata Ketua Norwegian Cruise Line, Harry Sommer, dalam satu kenyataan.
Operasi kapal persiaran dihentikan pada 14 Mac 2020 apabila CDC mengeluarkan arahan supaya industri kapal persiaran menghentikan operasi bagi mencegah penyebaran COVID-19.
Amerika Syarikat (AS) terus menguatkuasakan larangan itu walaupun beberapa kapal persiaran kembali beroperasi di Eropah dan tempat lain tahun lalu.
Ketiga-tiga syarikat akan menawarkan perjalanan dari Seattle ke Alaska sebagai pelayaran sulung mereka.
Carnival menjelaskan pelayaran hanya ditawarkan kepada penumpang yang menerima dos akhir sekurang-kurangnya dua minggu sebelum pelayaran dan Royal Caribbean pula menetapkan semua penumpang berusia lebih 16 tahun ke atas divaksin, manakala selepas 1 Ogos, peraturan itu turut dikuatkuasakan ke atas penumpang berusia 12 tahun ke atas.
Norwegian Cruise Line akan menawarkan pelayaran selama seminggu mulai 6 Ogos, sementara Royal Caribbean akan meninggalkan pelabuhan terlebih dahulu dengan perjalanan yang serupa pada 19 Julai dan Carnival’s Holland American Line akan bermula 24 Julai. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




